‘Semasa kempen cakap lain, selepas menang buat lain’

- Advertisement -

BESUT: PERIKATAN NASIONAL (PN) menegaskan parti itu tidak berbolak balik seperti parti lain yang melakukan tindakan berbeza sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN berjaya membuktikan kepada rakyat bahawa apa yang dilaungkan semasa berkempen dan selepas PRU15 tetap sama.

Ujar beliau yang juga Bendahari PN, perjuangan parti itu adalah mengangkat nasib rakyat bukan untuk memperdayakan masyarakat semata-mata demi meraih undi.

“Perkara yang penting adalah bagaimana kita (telah) yakinkan rakyat bahawa muafakat politik antara PAS bersama rakan-rakan dalam PN merupakan muafakat politik yang lebih kukuh, stabil dan lebih jelas.

“Suara yang kita laungkan semasa berkempen dan selepas pada itu (sama), kita tidak berbolak balik semasa kempen cakap lain, selepas mencapai kemenangan cakap lain, kita tidak begitu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Banjir Daerah Besut, di Putera Square, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat.

Menjawab mengenai keputusan Barisan Nasional untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Samsuri berkata PN tidak boleh memaksa mana-mana pihak untuk bersamanya.

“Kita tidak dapat memaksa mana-mana pihak untuk bersama dengan kita dalam Muafakat Nasional dan saya percaya itu adalah pilihan Umno dan Barisan Nasional untuk bersama dengan sesiapa sahaja yang mereka mahu.

“Itu menjadi pilihan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi,” ujarnya. – TRDI.my

- Advertisement -