Menutup aib keluarga

- Advertisement -

DI DALAM kehidupan ini, setiap manusia perlukan kehidupan berkeluarga. Pernikahan adalah fitrah manusia dan berupa ibadah kepada Allah S.W.T. Islam mensyariatkan pernikahan untuk membentuk mahligai rumah tangga yang sakinah, mawaddah, warahmah Allah  S.W.T dan mencapai redha Allah S.W.T. Dan bukan sedikitnya, yang gagal mendapatkan semuanya ini sehingga ada yang sampai berakhir dengan kehancuran.

- Advertisement -

Kehidupan rumah tangga penuh warna warni, ada yang berupa sengketa, kisah suka, kisah duka, kisah hati yang terluka dan melukakan sama ada oleh tindakan isteri atau suami. Semua ini sudah menjadi adat kebiasaan sebab pasangan itu bukan manusia yang sempurna dan masing-masing sebelumnya, belum mengenali dan memahami antara satu dan lain.

Allah S.W.T telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa dari awal kehidupan sehinggalah matinya, dipenuhi dengan ujian, senang dan susah. Sebagai manusia, hal ini mesti difahami dengan ilmu dan kesedaran. Ujian itu untuk membimbing hati manusia untuk yang terbaik:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya mengenai orang-orang yang berdusta.

(al-Ankabut: 2 -3)

Allah S.W.T hendak melihat sejauhmana kesungguhan hamba-Nya untuk taat perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, dan di masa yang sama, supaya hamba-Nya tahan lasak untuk menghadapi dan memperbaiki kelemahan diri. Yang lulus dalam ujian ini hanyalah orang yang bersabar dan bersyukur. Inilah yang menjadikan, rumah tangga mereka dapat terbina sehingga akhir hayat.

Beruntunglah, orang yang bersabar berhadapan dengan ujian rumah tangga, walaupun di satu sudut, si isteri atau suami sudah tidak mampu bertahan tetapi mereka terus tabah dengan nasihat dari al-Quran dan juga melihat kepada wajah anak-anak yang mengharapkan didikan dan kasih sayang mereka:

“… Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

(az-Zumat: 10)

Rasulullah S.A.W menyatakan, sungguh menakjubkan urusan orang-orang yang beriman, kerana mempunyai sikap antara syukur dan sabar:

“Dari Abu Yahya Suhaib bin Sinan R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman.”

“Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Setiap pasangan mesti sedar bahawa mereka berkahwin atas pilihan mereka sendiri, jadi setiap susah senang mesti dihadapi dengan sabar dan syukur di samping mengharapkan redha Allah S.W.T. Menerima setiap kekurangan masing-masing, sama ada di sudut penampilannya atau pendidikannya dengan sabar:

“…Mereka (para isteri) adalah pakaian bagi kalian (para suami), dan kalian adalah pakaian bagi mereka…”

(al-Baqarah: 187)

Ini satu ungkapan paling indah dari Allah S.W.T mengenai hubungan antara suami dan isteri. Kenapa Allah S.W.T menganalogikan hubungan ini seperti pakaian? 

1. Pakaian itu digunakan untuk menutupi aurat dan analoginya sebagai menutupi aib dan kekurangan suami isteri dari diketahui oleh orang luar.  Inilah realiti yang sepatutnya ada dalam rumah tangga, saling menutupi kekurangan masing-masing dan bukan saling membongkarnya. 

Tidak boleh orang luar tahu apa yang berlaku di dalam rumah tangga. Kedua-duanya mempunyai kekurangan dan tidak akan dijumpai isteri atau suami yang sempurna:

“Sesungguhnya orang yang paling buruk kedudukannya di hari kiamat di sisi Allah S.W.T adalah laki-laki yang menyetubuhi isterinya kemudian ia menceritakan rahsia isterinya”

(Hadis Riwayat Muslim)

Cuba lihat apa Nabi S.A.W kata kepada seorang suami dan isteri yang membongkar kekurangan pasangannya kepada orang ramai:

“Duduklah! Apakah seorang di antara kalian jika menjimak isterinya di dalam biliknya kemudian ia keluar lalu menceritakan: ‘Aku telah berbuat dengan isteriku begini dan aku telah berbuat dengan isteriku begitu.’” Semua sahabat diam. Kemudian beliau menghadap kepada jamaah perempuan dan bersabda, “Adakah di antara kalian yang bercerita begitu?” Seorang anak gadis Ka’ab lalu berdiri dan menoleh ke sana ke mari agar Rasulullah S.A.W dapat melihat dan mendengarnya. “Demi Allah S.W.T, sesungguhnya kaum perempuan pun biasa bercerita begitu.” Rasulullah S.A.W kemudian bersabda, “Adakah kalian tahu bagaimana perumpamaan orang yang berbuat demikian? Sesungguhnya orang yang berbuat demikian seperti syaitan laki-laki dan syaitan perempuan. Dia menjima’ teman perempuannya sambil disaksikan orang ramai di tempat terbuka.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

2. Pakaian itu untuk melindungi.

Suami isteri, sepatutnya saling menjaga dan melindungi. Dalam apa sahaja keadaan, suami isteri saling melengkapi keperluan masing-masing, saling menghormati dan saling menjaga dari melakukan perbuatan dosa sebagai tanda adanya rasa cinta, memiliki, bahagia, suka dan sebagainya. Kedua-duanya menjadi tempat sandaran antara satu sama lain dan tempat berkongsi kebahagiaan kerana kedua-duanya saling menguatkan:

“Ma’qil dari Abu Zubair, ia berkata, Jabir berkata, “Saya mendengar Nabi Muhammad S.A.W bersabda, ‘Jika salah seorang dari kalian terpikat wanita lain dan menimbulkan gejolak dalam hatinya, segeralah ia menumpahkan hasratnya kepada isterinya. Kerana yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.'””

(Shahih Muslim)

3. Pakaian itu untuk memanaskan di musim sejuk.

Dengan analoginya hubungan suami isteri, masing-masing harus mampu memanaskan atau melindungi pasangan dari berbagai krisis dan permasalahan yang mereka hadapi secara bersama-sama dengan mendengarkan luahan hati masing-masing. Tiada sesiapa pun yang dapat menjaga emosi seorang isteri kecuali suaminya sendiri dan sebaliknya. Rujuk sirah, mengenai peranan yang dilakukan oleh Khadijah, menenangkan hati Rasulullah S.A.W selepas didatangi Jibrail di gua Hirak.

4. Pakaian itu untuk menyempurnakan diri seseorang.

Allah S.W.T ciptakan Hawa, agar Adam tidak lagi rasa kesepian tanpa teman, agar dia rasa sempurna, rasa tenang dan cinta kepada isterinya:

“…Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa)…”

(an-Nisa’: 1)

Suami isteri sepatutnya mengetahui hak dan kewajipan yang harus dipenuhi dan mereka harus ada kesefahaman dan kesatuan hati. Tanpa dua hal ini, akan tidak mudah untuk menyatukan dua hati yang memiliki latar belakang yang berbeza.

5. Pakaian itu untuk keindahan dan kesesuaian.

Semua pasangan menginginkan pasangan yang soleh dan yang solehah, sebagai satu keindahan dalam kehidupan. Pakaian itu boleh dibaiki agar dapat dipakai dengan selesa.

6. Pakaian itu terlekat di tubuh kita.

Pasangan suami isteri saling memerlukan dan sangat rapat, seolah-olah tidak ada jarak yang memisahkan keduanya. Jadi pasangan suami isteri mesti rasa saling mempercayai, transparensi, bertanggung jawab, cinta, sayang menyayangi dan setia tetapi kalau berlaku sebaliknya, rumah tangga akan hambar dan berakhir dengan kehancuran. 

Mengelakkan ledakan dalam rumah tangga

1. Para isteri jangan melupakan jasa suaminya:

“Di dalam kisah Solat Gerhana Matahari, Rasulullah S.A.W dan para Sahabatnya melakukan solat Gerhana dengan solat yang panjang. Rasulullah S.A.W melihat syurga dan neraka. Baginda bersabda kepada para Sahabatnya:

“… dan aku melihat neraka, maka tidak pernah aku melihat pemandangan yang sedahsyat seperti ini sama sekali. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita.

“Para Sahabat pun bertanya, “Mengapa demikian ya Rasulullah S.A.W?” Baginda S.A.W menjawab, “Kerana kekufuran mereka.”

“Kemudian ditanya lagi, “Apakah mereka kufur kepada Allah S.W.T?” Baginda menjawab, “Mereka kufur kepada suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya.”

“Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka dengan sebanyak-banyaknya, kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (Yang tidak disukainya) nescaya dia akan berkata, “Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.””

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

2. Para suami jangan melupakan jasa isteri.

Dan para suami juga jangan melupakan kebaikan isterinya. Para isteri telah sudi menikahi kalian, menyelamatkan kalian dari perbuatan terlarang, setia membantu kalian dalam suka dan duka, mengandung, melahirkan dan menyusui anak-anak kalian, menjadi madrasah pertama anak-anak kalian, sabar membesarkan anak-anak dan setia menemani kalian di saat susah dan senang.

Berikan mereka nafkah, berikan hadiah kerana itu akan menyuburkan cinta dan kasih sayangnya kepada kalian, saling memaafkan, sebab masing-masing tidak sempurna. Baiki kesilapan dengan hikmah, cinta dan di waktu yang sesuai. Jangan dibiarkan kesilapan, kalau tidak tunggulah detik letusan kehancuran:

“Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim (49) dan Ahmad (11514))

3. Jangan disimpan dendam di hati masing-masing. Walaupun hati terhiris dan terluka dengan kata-kata dan tindakan pasangan, seakan-akan tidak akan dapat di sembuhkan lagi. Dendam itu boleh menjadi bom jangka di dalam rumah tangga. Jangan dibiarkan tetapi carilah solusi, ketepikan ego dan hulurkan tangan kemaafan:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(at-Taghabun: !4)

Penyelesaian dalam hal di atas bukan dengan memukul, membenci, menghalau, mengungkit-ungkit masa silam yang kelam dengan membongkar aib masing-masing tetapi Allah S.W.T suruh memaafkannya, tidak menghukum tetapi melupakannya (move on) atau menutup kesalahan itu dengan harapan mudah-mudahan masing-masing tidak melakukannya lagi. Dan para suami hendaklah mengajari dan mengingatkan isterinya dan sebaliknya, agar kesalahan itu tidak berulang lagi. 

Ibnu Abbas R.A menyatakan, “Taubat nasuha ialah menyesal dengan hati, istighfar dengan lidah, tinggalkan kesilapan dengan tindakan fizikal dan berazam tidak kembali melakukannya.”

Jangan kita memahami Islam dari mulut-mulut orang yang bukan-Islam, dari Barat dan orang-orang  yang bencikan Islam. Jangan lebih percayakan mereka dari Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. Jadi ikut panduan al-Quran dan akhlak Rasulullah S.A.W dan jangan ikut fahaman musuh-musuh Islam:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”

(al-Baqarah : 120)

4. Menceritakan kesalahan-kesalahan pasangan kita kepada orang lain.

Membongkar aib suami kita dan membongkar aib isteri kita, sehingga semua orang jadi tahu.  Jangan salah mencari tempat untuk meluah perasaan. Jangan salah membezakan luahan perasaan dengan ghibah (mengumpat). Luahan perasaan bermakna untuk mencari solusi dari orang yang berilmu dan menyayangi kita. Manakala,  mengumpat pula bermakna sekadar luahan untuk memuaskan perasaan marah, benci dan sebagainya. Ghibah itu haram kecuali pada sebab-sebab yang diizinkan syara’:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Hujurat : 12)

Ghibah hanya dibolehkan untuk:

1. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.

2. Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.

3. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.

4. Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka,  seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.

5. Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.

6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya.

Penutup

Setiap suami isteri jangan membuka atau membongkar aib pasangan kita atau sesiapa sahaja kecuali di beberapa hal yang dibolehkan. Dalam hal ini setiap pasangan, mesti memiliki sikap responsif (bekerjasama) terhadap pasangannya sebagai partner (pasangan) hidup, saling membantu, memerlukan, menghormati, menghargai dan sebagainya.

Bukankah Allah S.W.T akan membantu menutupi kesalahan dan aib seseorang ketika seseorang tersebut mampu menutupi kesalahan dan aib saudaranya jua pasangannya seperti Hadis di bawah. Semoga kita termasuk ke dalam golongan yang dipimpin hatinya oleh Allah S.W.T. Aamiin:

“Barangsiapa yang meringankan (menghilangkan) beban kesulitan seorang Muslim dari kesulitan-kesulitan duniawinya, maka Allah S.W.T akan meringankan (menghilangkan) baginya beban kesulitannya di akhirat kelak. Barangsiapa yang memberikan kemudahan bagi orang yang mengalami kesulitan di dunia, maka Allah S.W.T akan memudahkan baginya kemudahan (urusan) di dunia dan akhirat. Dan barangsiapa yang menutupi (aib) seorang Muslim sewaktu di dunia, maka Allah S.W.T akan menutup (aibnya) di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah S.W.T akan senantiasa menolong seorang hamba yang selalu ia menolong saudaranya.”

(Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 12/1/2023

- Advertisement -