Majlis penyerahan projek Hospital Pendang, Kedah

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, dapat saya bersama-sama dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazudin Arif Ibni Al Aminul Karim Sultan Salehuddin, Tengku Mahkota Kedah, YB Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Datuk Harjeet Singh (Ketua Setiausaha KKM), Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Hj Wan Sulaiman (KSU KKR), Dato’ Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool (KP KKR) serta pengurusan tertinggi KKM dan KKR pada hari ini di Majlis Penyerahan Hospital Pendang, Kedah.

- Advertisement -

Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah atas usaha sama dalam menjayakan pembinaan hospital ini.

Ini merupakan detik yang bersejarah kerana Projek Pembinaan Hospital Pendang, Kedah telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RP1, RMKe-11) dengan kos keseluruhan sebanyak RM255.27 juta termasuk perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan.

Hospital Pendang, Kedah ini bakal menjadi Hospital Pakar Minor baharu dan dilengkapi dengan kemudahan bangunan hospital dengan 126 katil, blok klinikal dan sokongan, serta 4 dewan bedah. 

Hospital Pendang ini juga menawarkan 10 bidang kepakaran, termasuk Kecemasan, Perubatan Am, Pembedahanan Am, Obstetrik dan Ginekologi, Paediatrik, Orthopedik, Anestesiologi, Radiologi, Patologi dan Psikiatri.

Hospital yang berkapasiti 126 katil ini dijangka akan memanfaatkan kira-kira 110,000 penduduk di Daerah Pendang, Kedah dan akan beroperasi pada 15 Februari 2023. Ianya akan memangkin kecemerlangan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh KKM untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyat serta mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan – HARAKAHDAILY 12/1/2023

- Advertisement -