Janji bantuan banjir RM100 juta perlu dipercepat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap kerajaan pusat dapat mempercepatkan janji bantuan kepada mangsa banjir sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Disember lepas.

- Advertisement -

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, bantuan itu sebanyak RM100 juta untuk mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanpun katanya, bajet 2023 akan dibentang pada Februari sebelum bantuan dapat diagih kepada mangsa banjir.

“Kita berharap kelulusan peruntukan tersebut dapat dipercepatkan. Lagi pun sekarang Pantai Timur masih dalam lingkungan musim monsun lagi.

“Tahun lepas banjir berlaku pada Februari dan Mac,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran pembangunan projek Arika Kubang Kerian hari ini.

Pelancaran projek itu disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Pada 21 Disember lepas Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juga untuk bantuan segera mangsa banjir di Kelantan dan Terenganu ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja Pasir Mas.

Mumtaz juga berkata, kerajaan negeri berusaha mengenal pasti penduduk yang mengalami kerugian akibat banjir besar baru-baru ini.

Kata beliau maklumat mengenainya dikumpul di peringkat akhir Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ).

Katanya, borang mengenainya sudah diedar kepada mangsa banjir melalui wakil rakyat dan penghulu yang mengesahkan kerugian dialami mereka. – HARAKAHDAILY 12/1/2023