Ubah sikap utama kebersihan sempena 2023

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Rakyat Kelantan diminta menghentikan tabiat membuang sampah ke dalam longkang kerana ia akan menyebabkan saluran air tersumbat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, sampah hendaklah dibuang ke ke dalam tong sampah yang disediakan.

Katanya sampah yang dibuang ke dalam longkang akan menyebabkan saluran tersumbat sehingga boleh menyebabkan berlaku banjir kilat apabila hujan lebat.

“Terima kasih Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan semua jabatan, agensi serta orang ramai yang terlibat program Gotong-Royong Kempen Kelantanku Bersih di sekitar Bandar Tok Janggut.

“Kebersihan bandar kita tanggungjawab bersama. Buanglah sampah ke tempat yang disediakan,” ujarnya pada kenyataan di laman sosialnya.

Program gotong royong diadakan di Bandar Tok Janggut dianjurkan Majlis Daerah Pasir Puteh yang turut disertai pelbagai agensi, jabatan dan orang ramai hari ini.

Dr Izani berkata, rakyat Kelantan hendaklah menjadikan Tahun Baharu 2023 sebagai azam untuk mengubah sikap ke arah lebih baik khususnya tanggungjawab menjaga kebersihan.

Kelantan menggerakkan kempen Kelantanku Bersih sejak 2018 sehingga menampakkan perubahan ketara di kawasan bandar.

Malah Pasar Besar Siti Khadijah muncul johan kategori Pasar Awam Terbersih sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021. – HARAKAHDAILY 11/1/2023

- Advertisement -