BANGKOK: Thailand merancang untuk mula mengenakan caj yuran 300 baht (RM39.30) kepada setiap pelancong asing yang tiba di negara itu mulai Jun ini.
Menteri Pelancongan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn pada Rabu (11 Jan) berkata, wang yang dikumpul hasil yuran tersebut adalah untuk membantu pelawat yang terlibat dalam kemalangan dan membangunkan lagi industri pelancongan negara itu, lapor Reuters.
“Yuran bagaimanapun tidak akan dikenakan kepada warga asing yang mempunyai permit kerja dan pas sempadan,” ujarnya sambil menambah bahawa Thailand menjangkakan 25 juta pelancong mengunjungi negara itu pada tahun ini.
Cadangan mengenakan yurun berkenaan mula dipertimbangkan pada tahun lalu dan tertakluk kepada kelulusan kabinet.
Menyentuh mengenai kos perbelanjaan industri pelancongan Thailand, beliau berkata, ia diramal mencecah sekurang-kurangnya 2.38 trilion baht (RM10.4 trilion) sepanjang 2023.
Pelancongan merupakan sektor penting dalam negara ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu, yang menyumbang kira-kira 12 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Thailand sebelum pandemik Covid-19 menular pada 2020.
Sepanjang 2019, Thailand yang terkenal dengan pelbagai destinasi menarik itu menerima kunjungan hampir 40 juta pelancong. – HARAKAHDAILY 11/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!