ALOR SETAR: Tinjauan Harakahdaily mendapati semua premis perjudian di Kedah mematuhi arahan kerajaan negeri yang tidak membenarkan lagi premis judi beroperasi di negeri itu berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Sebelum ini terdapat 22 premis judi yang beroperasi sekitar Alor Setar, namun sekarang semuanya ditutup.
Menjelaskan perkara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Muhammad Hayati Othman berkata, pengusaha premis terbabit mematuhi arahan kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, semuanya ok serta patuh kepada arahan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.
Malah Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Mohd Azizi Abdullah juga memberitahu semua pengusaha premis perjudian termasuk Sport Toto, Magnum dan lain-lain akur terhadap arahan kerajaan.
Menurutnya langkah kerajaan negeri memberi impak yang baik kepada masyarakat tidak kira kaum dan agama.
“Kalau dahulu, kaki judi mudah hendak berjudi, tetapi sekarang tidak boleh lagi, sekurang-kurangnya duit boleh dijimat untuk menyediakan keperluan keluarga,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti perjudian dengan menjual dari rumah ke rumah.
Menurutnya operasi mereka sudah dikesan pihak berkuasa dan tindakan akan diambil terhadap pihak yang terlibat.
Hafizatul Khairina Amir Hajat, 27 pula berkata, kehilangan sumber kerajaan negeri RM400,000 setahun daripada hasil judi boleh diganti dengan aktiviti lain.
“Lagi pun Kedah kaya dengan sumber bumi seperti unsur nadir bumi (REE) yang akan diteroka tidak lama lagi,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 11/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!