SELEPAS memenangi sebuah peperangan, Rasulullah S.A.W menjalankan syariat pembahagian harta ghanimah.
Zul Khuwaisirah – Hurqus bin Zuhair
Menurut sebuah Hadis Sahih Riwayat Imam al-Bukhari & Muslim, ketika pembahagian ghanimah tersebut, datang seorang lelaki dari Bani Tamim bernama Zul Khuwaisirah menemui Rasulullah S.A.W.
Dengan biadab si Khuwaisirah berkata kepada Nabi S.A.W:
يَا رَسُولَ اللَّهِ اعْدِلْ ،
“Wahai Rasulullah, berlaku adillah!”
Jawab Nabi S.A.W:
وَيْلَكَ !
وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ ؟!
قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ
“Celakalah engkau!
“Siapa lagi yang mungkin berlaku adil kalau bukan aku?
“Sungguh celaka dan rugilah engkau kalau aku tidak dapat berbuat adil.”
(Muttafaq ‘alaih)
Umar R.A tawarkan leher Zul Khuwaisirah
Susulan ayat kurang ajar Zul Khuwaisirah tersebut, Saidina Umar al-Faruq pantas mengusulkan khidmat buat Rasulullah S.A.W:
يَا رَسُولَ اللَّهِ ائْذَنْ لِي فِيهِ فَأَضْرِبَ عُنُقَهُ
“Wahai Rasulullah, izinkanlah aku, biar aku penggal lehernya.”
Saidina Umar dan Saidina Abu Bakr R.A terkenal sebagai Sahabat besar, calon utama pengganti khalifatur Rasul selepas kewafatan Baginda.
Rasulullah S.A.W sering memuji mereka berdua R.A, sehingga satu riwayat menyebutkan Rasulullah sangat mengutamakan pandangan kedua-dua Sahabat besar Baginda ini.
Tawaran Umar R.A untuk memancung Zul Khuwaisirah berasas dari iman yang murni, kecintaan kepada Rasulullah S.A.W selaku insan pembawa risalah Islam.
Respon beliau ketika itu tidak sama sekali terbit dari emosi yang tidak waras.
Penampilan Islamik tidak menjamin kemurnian iman
Tawaran Saidina Umar R.A ditolak baik oleh Rasulullah S.A.W.
Sabda Baginda S.A.W:
دَعْهُ فَإِنَّ لَهُ أَصْحَابًا يَحْقِرُ أَحَدُكُمْ صَلَاتَهُ مَعَ صَلَاتِهِمْ وَصِيَامَهُ مَعَ صِيَامِهِمْ
“Tinggalkanlah dia. Sesungguhnya dia mempunyai pengikut, solat kalian akan kelihatan remeh jika dibandingkan solat mereka. Begitu pula puasa kalian dibandingkan puasa mereka.”
Puak Khawarij memandang rendah amal kaum Mukminin, hatta para Sahabat besar Rasulullah S.A.W yang pasti iman mereka lebih kuat dan tinggi dibandingkan Khawarij.
Mereka menghina para Sahabat R.A, kerana beranggapan solat dan puasa mereka lebih baik daripada para Sahabat R.A.
Mesej untuk diambil peringatan dari Hadis tersebut, jangan semata-mata membandingkan amalan sunat – solat siapa lebih banyak, puasa siapa lebih kerap – sebagai hujah kebenaran.
Amal zahiriah mudah dilakonkan, tetapi iman dari dalam hati yang dibuktikan dengan amalan Sunnah seiring syariat sangat mustahil dijadikan topeng seseorang. Lambat laun pasti terkoyak, kerana sifat ujian akan mengungkap hakikat iman dan kepalsuan seseorang. Demikian adalah janji Allah yang pasti berlaku.
Isu semasa
Adapun kenyataan saudari peguam yang yakin mendakwa Rasulullah S.A.W tidak adil adalah sangat tersasar.
Saya tidak tahu sama ada kenyataan tersebut berasal daripada kejahilan atau kesombongan diri, dan bukan kerja saya untuk menentukan perkara tersebut. Saya bukan penguasa agama. Selaku pendakwah kita dituntut menjelaskan kekeliruan dan menyampaikan penerangan.
Rasulullah S.A.W sentiasa berlaku adil dalam hal kemampuan Baginda – masa, giliran, tanggungjawab berkeluarga. Sedangkan doa Baginda S.A.W minta perlindungan Allah ialah pada perkara maknawi yang tidak mampu diukur pembahagian saksama antara isteri-isteri Baginda, Ibu kita semua.
Celakalah kita, kalau kita menganggap Rasulullah S.A.W tidak mampu berlaku adil.
Semoga pada masa akan datang, ada peluang untuk bertemu dan berdialog secara langsung dengan peguam tersebut.
Demi Islam.
SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 11/1/2023
P/s :
Ah ya. Akhirnya takdir Allah membuktikan wajah sebenar Hurqus.
Pada era pemerintahan khalifah Ali bin Abi Talib R.A wa karramallahu wajhah, puak Khawarij mula memunculkan kepala mereka, memberontak ke atas khalifah umat Islam.
Melaksanakan arahan Rasulullah S.A.W dalam Hadis yang lain, Saidina Ali R.A lantas memerangi mereka. Kebanyakan mereka mati dalam keadaan hina, yang tersisa hanya beberapa orang.
Hurqus tercatat dalam sejarah, sebagai salah seorang perintis aliran Khawarij. Demikian catatan beberapa perawi Hadis dan sejarawan Muslim yang awal.
Puak Khawarij yang selamat dari pedang Umar R.A, diberi peluang taubat. Akhirnya tetap kecundang ketika era Ali R.A atas kedegilan diri sendiri.
Allah rahmati para Khulafa’ ar-Rasyidin R.A.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!