JENDELA perpindahan bagi kelab-kelab bola sepak di England telah dibuka pada 1 Januari lepas dan akan ditutup pada 31 Januari hadapan. Ini bermakna kelab-kelab seperti yang bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) boleh membeli dan menjual pemain dalam tempoh tersebut. Perpindahan (transfer) pemain tidak boleh dilakukan sepanjang tahun tetapi hanya pada tempoh-tempoh tertentu yang dipanggil jendela perpindahan atau ‘transfer window‘. Keadaannya sama di seluruh dunia hanya tarikhnya berbeza menurut negara. Selain jendela perpindahan pertengahan musim (mid-season atau winter transfer window di Eropah) terdapat jendela perpindahan pra musim (pre-season) dari 1Jun hingga 10 September. Pemain boleh ‘melompat’ dari kelab ke kelab dengan syarat ia berlaku pada jendela-jendela yang ditetapkan. Mereka tidak terpaksa kekal dengan kelab mereka sehingga tamat kontrak.
Jendela ini mewujudkan ketenangan dan kestabilan di dalam industri bola sepak. Keadaan sudah tentu menjadi huru-hara jika perpindahan dibenarkan sepanjang tahun. Ia sudah tentu akan mengganggu permainan kelab-kelab. Sudah tentu mereka tidak dapat merancang dengan efektif kerana sentiasa bimbang akan kehilangan pemain kepada kelab-kelab lain. Pemain-pemain juga tidak akan dapat memberi tumpuan kepada permainan kerana terdapat kelab-kelab yang akan cuba memancing mereka dengan menawarkan kontrak yang lebih menarik.
Perpindahan ini adalah keperluan kerana beberapa sebab. Pertama kerana ia memberi peluang kepada kelab untuk mendapatkan pemain baharu untuk menguatkan skuad mereka atau untuk melaksanakan strategi permainan yang sentiasa berubah-ubah. Jendela perpindahan bulan Januari ini penting kerana liga telah berjalan selama 4 bulan. Ketika itu mungkin terdapat pemain yang cedera atau tidak lagi sesuai dengan strategi permainan kelab. Justeru mereka perlu mendapatkan pemain baharu dan mereka tidak boleh menunggu sehingga akhir musim. Jendela pertengahan musim ini memberi peluang kepada kelab-kelab itu.
Kedua, ia memberi peluang untuk melonjakkan prestasi mereka setelah 4 bulan beraksi. Pemain-pemain di dalam skuad mereka mungkin tidak memadai lagi untuk mencapai matlamat pada musim tersebut. Contohnya kelab-kelab yang diancam penyingkiran ke liga yang lebih bawah sudah tentu akan berusaha untuk mendapatkan pemain-pemain baharu untuk menyelamatkan kedudukan mereka. Begitu juga kelab-kelab yang mengejar kelayakan ke Liga Juara-juara (UCL) dan Liga Europa (UEL) yang sudah tentu akan mencari pemain untuk membantu mereka mencapai impian tersebut.
Ketiga ia memberi peluang kepada pemain yang diketepikan atau yang tidak lagi dalam perancangan kelab untuk berpindah kepada kelab-kelab lain. Mungkin pada awal musim mereka masih relevan tetapi setelah liga berlangsung dan kelab menukar strategi permainan, mereka akhirnya diketepikan. Ini juga berlaku sekiranya kelab bertukar pengurus dan strategi pengurus yang baharu tidak sesuai dengan pemain tersebut. Konflik peribadi dengan pengurus baharu juga boleh berlaku. Oleh yang demikian, dari kekal di kelab mereka dan tidak diturunkan untuk bermain, lebih baik mereka berpindah ke kelab lain.
Jendela perpindahan bulan Januari kali ini adalah yang paling dinanti-nanti oleh peminat kerana ia adalah sejurus selepas pertandingan Piala Dunia. Qatar 2022 melihat begitu ramai pemain yang menyerlah yang sudah tentu akan menarik minat kelab-kelab. Di antaranya adalah Enzo Fernandez dari kelab Portugal, Benfica, yang membantu Argentina memenangi Piala Dunia. Terdapat spekulasi mengatakan Real Madrid dan Liverpool berminat dengan pemain yang berusia 21 tahun itu. Liverpool yang sekarang berada di tempat ke 6 di dalam EPL dan diancam ketinggalan dari kelayakan UCL sudah tentu terdesak tetapi dilaporkan oleh Sports Illustrated perlu membayar 105 juta pound jika mahu pemain tengah tersebut (central midfielder).
Sofyan Amrabat yang membantu Maghribi layak hingga separuh akhir juga merupakan pemain yang sedang mendapat perhatian kelab-kelab. Pemain kelab Serie A Itali, Fiorentina, berusia 26 tahun itu dilaporkan oleh Sports Mole sedang dikejar oleh Tottenham, Liverpool dan Paris St Germain. Mirror UK melaporkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, telah bertemu dengan wakil pemain tersebut.
Satu lagi pemain yang diberitakan akan berpindah ke EPL adalah pemain Bundesliga Borussia Monchengladbach, Marcus Thuram. Pemain berusia 25 tahun di dalam skuad Perancis yang menjadi naib juara Qatar 2022 dikatakan sedang diburu oleh beberapa kelab termasuk Chelsea, Manchester United dan Bayern Munich. Menurut Football London, Chelsea telah mengadakan rundingan untuk membawa pemain tersebut ke Stamford Bridge. Kontrak Thuram akan tamat pada musim panas ini dan kelab beliau sudah tentu mahu menjualnya sebelum terpaksa melepaskan beliau. Pemain kelahiran Itali itu telah dibeli oleh mereka dalam tahun 2019 dari kelab Perancis Guingamp dengan bayaran 12 juta Euro. Nilai semasa pemain serangan (centre forward) itu adalah 32 juta Euro. Chelsea memerlukan beliau sekarang untuk menyelesaikan masalah jaringan gol mereka. Setelah 17 perlawanan EPL, mereka hanya menjaring 25 gol berbanding dengan pendahulu liga Arsenal dengan 44 dan tempat kedua Manchester City dengan 39.
Terdapat baki lebih 2 minggu sebelum jendela perpindahan kali ini ditutup dan terdapat banyak lagi perpindahan dijangka akan dimuktamadkan. Setakat ini belum terdapat lagi perpindahan yang melibatkan nama-nama besar. Ini adalah perkara biasa. Masih berlaku tawar-menawar dan bida-membida hingga ke saat terakhir. Lazimnya perpindahan akan dimuktamatkan hingga ke hari terakhir malah hingga ke jam yang terakhir. Setakat ini hanya perpindahan Cody Gakpo daripada PSV Eindhoven ke Liverpool merupakan perpindahan paling berprofil tinggi. Pemain Belanda yang dibeli dengan kos 44 juta pound itu menjaring gol-gol ketika menentang Qatar, Ecuador dan Senegal pada Qatar 2022. Beliau telah pertama kali bermain untuk kelab baharunya ketika menentang Wolves dalam Piala FA.
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
10 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 10/1/2023