British Airways benarkan pramugari berhijab

British Airways melancarkan koleksi pakaian seragam terbaharu termasuk untuk kru kabin wanita dengan menampilkan jumpsuit yang ditempah khas serta pilihan hijab dan tunik. (FOTO: Odisha Bashkhar.in)
- Advertisement -

LONDON: British Airways telah melancarkan koleksi seragam baharu termasuk untuk kru kabin wanita, yang merupakan pengubahsuaian pakaian pertama kali dalam dua dekad, menampilkan jumpsuit yang ditempah khas serta pilihan hijab dan tunik.

- Advertisement -

Syarikat penerbangan United Kingdom dalam satu kenyataan berkata bahawa pakaian seragam baharunya itu adalah daripada apa yang dilabelkan sebagai ‘koleksi yang benar-benar asli’ yang mengambil inspirasi daripada indIvidu yang memakainya, lapor Arab News.

“British Airways telah menambah hijab pada pilihan seragam sebagai sebahagian daripada pelancaran semula lengkap pakaian kakitangan kami pada 2023,” ujar kenyataan tersebut.

Pelancaran pakaian seragam syarikat penerbangan itu yang direka oleh pereka fesyen, Ozwald Boateng pada minggu lalu itu menandakan permulaan rombakan pakaian seragamnya buat pertama kali dalam dua dekad.

Koleksi baharu itu, yang disifatkan sebagai ‘syarikat penerbangan didahulukan’, menampilkan kepelbagaian pilihan yang lebih meluas skopnya, termasuk jumpsuit moden yang ditempah khas dan pilihan tunik serta hijab.

“Koleksi pakaian seragam 2023 ini adalah perwakilan ikonik jenama kami, sesuatu yang akan membawa kami ke masa depan, mewakili yang terbaik dari Britain moden,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif British Airways, Sean Doyle dalam satu kenyataan di laman web syarikat berkenaan

“Kami mahu mencipta koleksi seragam yang bangga dipakai oleh rakyat kami dan dengan bantuan lebih 1,500 rakan sekerja, kami yakin kami telah menyampaikan cita-cita kami itu,” tambahnya.

Terdahulu, Boateng telah berunding dengan ribuan kakitangan British Airways dan anak-anak  kapal yang bertugas di lapangan terbang sebelum  mereka bentuk pakaian seragam untuk memastikan ia sesuai untuk tujuan dan matlamat syarikat serta memenuhi kehendak pekerjanya.

“British Airways berbangga bahawa pakaian seragam koleksi baharu ini  menawarkan penampilan bergaya dengan fabrik yang berkualiti tinggi dan berdaya tahan,” ujar kenyataan tersebut lagi.

Difahamkan bahawa lebih daripada 90 peratus pakaian seragam yanng dihasilkan itu daripada bahan yang mampan.

Seramai 30,000 pekerja British Airways di seluruh dunia dijadualkan akan memakai pakaian seragam baharu itu  menjelang musim bunga 2023 kelak, manakala menjelang musim panas, semua kru kabin syarikat penerbangan itu akan memakai pakaian seragam dengan reka bentuk yang sporty.

“Mereka bentuk pakaian seragam koleksi terbaharu  ini adalah satu usaha yang besar dan merumitkan dan ia melangkaui semata-mata tentang pakaian. Ia adalah mengenai mewujudkan perubahan yang bertenaga secara dalaman.

“Salah satu objektif utama saya adalah untuk mencipta sesuatu yang ‘memperkata dan mewakili’  dengan dan untuk rakan sekerja British Airways – sesuatu yang memberi inspirasi dan memperkasakan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!