Gelombang Hijau semakin sukar disekat

- Advertisement -

USAHA untuk menafikan dominasi Umno-Barisan Nasional (BN) mulai berputik pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Gerakan itu dimulakan Pakatan Rakyat (PR).

- Advertisement -

Ketika itu PR disertai PAS, PKR dan DAP. Amanah, Bersatu, Pejuang dan aneka parti baharu belum wujud. Bermula dari detik itu pengaruh Umno semakin merosot.

Pada PRU tersebut BN menguasai 140 kerusi parlimen, manakala PR pula menang di 82 kerusi. Sedangkan pada PRU11 BN menguasai 198 kerusi, paling cemerlang dalam sejarah BN.

PRU-11 diadakan pada 2004 dinahkodai Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). PRU12 juga diketuai Pak Lah. Biarpun BN masih menguasai majoriti dua pertiga di parlimen pada PRU12, namun Pak Lah mengambil tanggungjawab.

Pak Lah menyerah tugas sebagai perdana menteri kepada Najib Razak pada 3 April 2009. Pak Lah ternyata berjiwa besar mengambil tanggungjawab selepas Umno merosot teruk. Berbeza jauh berbanding Umno era sekarang.

BN hilang 58 kerusi ke tangan PR pada PRU12. Harapan penyokong Umno, Najib boleh mengembalikan semula pengaruh BN. Di era Najib, ramai masih ingat bermula jenama 1Malaysia.

Kewibawaan Najib boleh diukur pada PRU13. PRU13 diadakan pada 5 Mei 2013. Harapan Umno dan BN, Najib mampu mengembalikan kegemilangan seperti Pak Lah pada 2004.

PRU 2004 merupakan PRU pertama di bawah Pak Lah. Ternyata Pak Lah berjaya dan cemerlang. Mengatasi kejayaan presiden Umno lain sebelum itu. Ia dianggap sebagai rekod baharu Umno.

Maka, tidak hairanlah ramai berharap Najib mengulangi kejayaan 2004. Namun, harapan tinggal impian. Pada PRU 2013 BN terus merosot sehingga hilang majoriti dua pertiga di parlimen.

BN mengekalkan 133 kerusi, merosot 7 kerusi berbanding PRU 2008. Manakala PR pula bertambah kepada 89 kerusi. Peratusan undi popular pembangkang (PR) mengatasi BN.

PR mendapat 50.87 peratus, sedangkan BN (47.38 peratus). Najib terus menerajui kerajaan sehingga menghampiri genap tempoh parlimen penggal ke-13.

Malangnya Najib tidak berupaya mengesan pengaruh Umno terus merosot di mata rakyat. Keadaan tambah parah dengan kemunculan kemelut 1MDB.

Gambaran kemewahan isteri perdana menteri disebar meluas di media sosial.
Dalam tempoh hampir lima tahun itu, prestasi Umno terus menjunam.

Kerajaan BN berakhir

Akhirnya PRU-14 pada 9 Mei 2018 Umno dan BN dinokhtahkan sebagai kerajaan Malaysia. Jumlah kerusi BN pada akhir penggal ke-14 hanya tinggal 40 kerusi. Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan PR pula mendapat 139 kerusi.

Ini bermakna PR dan PH mengambil tempoh dua pengggal selepas tsunami politik menjatuhkan BN. Dan luka BN lebih parah apabila hanya tinggal 30 kerusi pada PRU15.

Petunjuk di atas memperlihatkan pembangkang cepat bangkit. Berdasar perkembangan tersebut kemungkinan PRU16, teraju Putrajaya berubah lagi.

Namun, tidak dapat ditolak kemungkinan mengulangi sejarah penggal ke-14. Perdana Menteri boleh bertukar dengan mudah. Situasi itu mulai diperkatakan berikutan gempak Langkah Jakarta dan Langkah London. Ia mulai riuh sekarang.

Sebagai testimoni PRN enam negeri akan menjadi medan terbaik. Enam negeri terbabit dikuasai PH dan PAS (PERIKATAN NASIONAL). Kebimbangan yang kelihatan muncul sekarang di sebelah PH.

Gelombang hijau ternyata berjaya di Perlis, Perak dan Pahang pada PRU15.
Di Perlis pengaruh Shahidan Kassim berjaya membantu PN merampas negeri itu daripada BN.

Begitu juga di Pahang, tidak dinafikan juga pengaruh Ismail Mutalib di Maran menular ke tempat lain. Kedua-dua pemimpin terbabit bekas ahli parlimen BN.

Di Selangor ramai kenal siapa Noh Omar. Beliau juga disingkirkan pada PRU lepas. Biarpun di Dun Selangor, PAS sekarang hanya bertapak di Sijangkang, namun pengaruh PN cepat menular.

Ia diakui turut Dr Awang Azman dari Universiti Malaya. Beliau tidak menolak PN akan menggunakan individu berpengaruh dalam BN Selangor untuk kerjasama menawan Selangor.

“Noh tokoh popular seperti Azmin Ali. Mereka boleh memain peranan penting dalam usaha tersebut. PN berjaya menggunakan pengaruh Shahidan di Perlis,” katanya seperti dilapor portal berita.

Pada PRU 2008 PAS pernah menguasai lapan kerusi Dun di Selangor. Dun terbabit iaitu Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Chempaka, Bangi, Meru, Selat Kelang dan Sijangkang.

Ramai menjangka situasi di Selangor boleh mengulangi apa yang berlaku di Perak dan Pahang pada PRU15. PH dan BN semakin resah sekarang.

Di Selangor Umno juga awal-awal lagi diketepikan PH. Tiada senarai pemimpin Umno dilantik sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan tahun ini.

Situasi terbabit boleh membantu Gelombang Hijau menghampiri Selangor. Gelombang itu seperti semakin sukar dikawal sekarang. – HARAKAHDAILY 9/1/2023

- Advertisement -