Aktiviti judi dorong punah institusi keluarga

- Advertisement -

KANGAR: Ketegasan Kerajaan Kedah yang tidak membenarkan lagi semua operasi premis judi bermula 1 Januari lepas akan membawa kebaikan kepada rakyat negeri tersebut.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis, Nor Shahirah Mat Salleh berkata, tindakan kerajaan Kedah akan membawa keberkatan kepada rakyat sekali gus menjadi ikutan kepada negeri-negeri lain.

“Pastinya rahmat Allah akan memayungi pemerintahan negeri Kedah kerana menutup lubang yang mengundang masalah moral,” katanya di sini.

Kedah merupakan negeri terbaharu yang tidak membenarkan premis perjudian beroperasi di negeri itu, menjejaki langkah kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu.

Nor Shahirah juga berkata, lesen premis judi yang tamat tahun lepas tidak lagi disambung di Kedah dan bermula 1 Januari lepas tiada lagi premis judi di Kedah.

Malah kata beliau aktiviti judi tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya boleh menjurus kepada kerosakan dalam institusi keluarga.

“Perbuatan tersebut hanya bergantung kepada nasib tanpa berfikir secara rasional sehingga mengakibatkan keluarga si penggemar judi menjadi mangsa.

“Ahli keluarga terdekat biasanya menjadi mangsa antaranya isteri dan anak-anak kerana aktiviti judi bergantung sepenuhnya kepada nasib,” katanya.

Menurut beliau juga amalan judi tidak disukai mana-mana agama kerana ia boleh merosakkan rumahtangga penggemar judi.

Kata beliau setiap agama menganjurkan keharmonian dan tidak ada agama yang membenarkan aktiviti yang mendorong penganutnya hanya bergantung kepada nasib tanpa berusaha. -HARAKAHDAILY 9/1/2023