Skandal ‘import’ sisa toksik: Menteri Tunisia dipenjara

Mustapa Aroui dipecat dari kabinet kerajaan Tunisia pada Dis 2020. (FOTO: Arab Observer)
- Advertisement -

TUNIS: Bekas Menteri Persekitaran dan Hal Ehwal Tempatan Tunisia, Mustapha Aroui telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun sabit kesalahan terbabit dalam skandal penghantaran haram sisa isi rumah dari Itali ke Tunisia.

- Advertisement -

Kamar Jenayah Mahkamah Tingkat Pertama Tunis, di sini, menjatuhkan hukuman penjara yang sama kepada tiga defendan lain dan turut memenjarakan seorang pegawai kementerian selama 10 tahun, lapor Arab News.

Pemilik syarikat yang mengimport sisa toksik dari  Itali itu, yang masih bebas, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun tanpa kehadiran. Kesemuanya dituduh memudaratkan orang ramai dan harta benda awam, pemalsuan dan pengimportan haram sisa berbahaya.

Walau bagaimanapun, seorang lagi bekas Menteri Alam Sekitar Tunisia, Chokri Berlhassen dibebaskan.

Aroui dipecat daripada jawatan dalam kabinet kerajaan Tunisia dan ditahan pada Dis 2020 bersama beberapa pegawai dari kementeriannya dan Agensi Pengurusan Sisa Negara sebagai sebahagian daripada siasatan kes itu.

Kes itu bermula pada Julai 2020 apabila 280 kontena sisa isi rumah diangkut secara haram ke Tunisia dari Campania, di selatan Itali, oleh syarikat Itali Sviluppo Risorse Ambientali, yang secara palsu mendakwa bahawa ia adalah sisa plastik yang bertujuan untuk dikitar semula.

Lebih 200 kontena sisa disimpan di pelabuhan Sousse di Tunisia, dengan bakinya ditinggalkan di gudang di Mourredine.

Kes itu terbongkar selepas siasatan oleh saluran TV swasta Tunisia pada Nov 2020 mencetuskan bantahan di negara itu.

Selepas perjanjian dua hala, pada Feb 2022, Tunisia memulangkan 213 kontena yang disimpan di Sousse kembali ke Itali. Baki kontena, yang rosak akibat kebakaran pada Disember 2021, masih menjadi bahan perbincangan antara kedua-dua negara.

Siasatan kehakiman terhadap kes itu masih dijalankan, yang mana skandal itu telah mencetuskan protes di Tunisia di tengah-tengah dakwaan negara itu telah menjadi ‘tong sampah’ Itali.

Duta Tunisia di Itali, Moez Sinaoui memberitahu penyiar TV  Itali, RAI bahawa dia pasti sisa toksik di Tunisia akhirnya akan dikembalikan ke Campania.

Sementara, Gabenor Campania,  Vincenzo De Luca pula memberitahu Arab News bahawa ‘negara itu rantau itu akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk menyelesaikan masalah berkenaan’. – HARAKAHDAILY 6/1/2022

- Advertisement -