Umno diketepi di negeri didominasi PH

Wan Hasrina Wan Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun Umno berada dalam kerajaan campuran PH-BN di peringkat persekutuan, namun situasi itu berbeza di negeri-negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

PH terutamanya DAP dianggap masih lagi mecurigai Umno. Situasi itu dibuktikan apabila senarai 272 Ahli Majlis di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tiada kelibat Umno.

Ia memperlihatkan Umno masih melukut di tepi gantang di negeri-negeri yang didominasi PH.

Mengulas perkembangan yang berlaku itu Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor Wan Hasrina Wan Hassan yakin ‘kahwin paksa’ PH-Umno di peringkat pusat tidak mampu kekal lama.

Katanya, riak-riak ke arah itu sudah kelihatan di Selangor apabila pemimpin Umno tiada dalam senarai lantikan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan PBT.

Kata beliau dengan kuasa minoriti Umno di peringkat persekutuan, parti itu sukar untuk memperluaskan semula pengaruh di negeri-negeri yang diterajui PH.

“Kita melihat Umno disisih secara ansur-ansur oleh PH. PH dipercayai akan terus mempermainkan Umno ekoran masalah dalaman yang berlaku sekarang,” katanya di sini.

Wan Hasrina juga berkata, PH yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanya memerlukan kerjasama Umno di peringkat pusat bagi membentuk kerajaan di Putrajaya dan bukannya di peringkat negeri.

Menurutnya kerjasama itu bagi menjayakan cita-cita Anwar yang sudah lama mengimpikan jawatan Perdana Menteri.

“Saya nampak Umno akan menjadi mangsa permainan politik PH yang begitu licik mengejar kuasa di peringkat pusat.

“Lebih malang lagi pemimpin Umno seperti tidak serik dengan pengalaman 22 bulan PH menerajui kerajaan pusat sebelum ini,” ujarnya.

Kata beliau juga konflik Umno-PH akan tambah meruncing bagi merebut kerusi Dun di enam negeri yang akan berlangsung pilihan raya negeri tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 5/1/2023

- Advertisement -