Putus hubungan MN pun masih dapat ihsan PAS

DUN Kelantan.
- Advertisement -

PEMIMPIN Umno di luar Kelantan mungkin tidak tahu. Mereka tidak mendapat maklumat Adun mereka di Kelantan mendapat peruntukan serupa dengan Adun PAS.

- Advertisement -

Kerajaan PAS Kelantan berjiwa besar. Biarpun ada pemimpin Umno menghentam PAS siang dan malam, namun peruntukan tetap diagih bagi manfaat rakyat.

PAS Kelantan mengambil langkah tersebut dengan mengambil kira kesungguhan agenda Muafakat Nasional (MN).

Pada peringkat awal bekas Ketua Umno Ketereh Annuar Musa bersungguh-sungguh menjayakan MN. Gerakannya bermula di Serambi Mekah. Kemudian melebar sehingga ke Pasir Salak.

Kemuncaknya Piagam MN ditandatangani di PWTC tanggal 14 September 2019. Maka mengambil sikap lunak pemimpin Umno ‘berpayung’ agenda perpaduan ummah, PAS Kelantan melangkah ke hadapan.

Jawatan Penyelia Dun di tujuh Dun yang dimenangi Umno dimansuhkan. Penyelia Dun terbabit dilantik dalam kalangan pemimpin PAS yang pernah menjadi calon di kawasan berkenaan.

Dengan pemansuhan jawatan terbabit, peruntukan pembangunan dan kesejahteraan rakyat disalur terus kepada Adun Umno.

Ekoran tindakan kerajaan negeri itu, ada pemimpin PAS di Dun berkenaan meluahkan rasa tidak senang. Namun, mereka terpaksa akur demi MN.

Pendekatan itu agak berbeza berbanding Terengganu dan Kedah. Kelantan mengambil jalan tengah. Pada 2021 dan 2022 Adun di Kelantan mendapat peruntukan sama rata. Tidak kira Adun PAS atau Umno.

Inilah realiti yang berlaku. Adun Umno Kelantan sepatutnya uar-uarkan sikap terbuka PAS itu. Ini kerana masih ramai pemimpin Umno di luar Kelantan tidak tahu.

Antaranya bekas ahli parlimen Umno Padang Rengas Nazri Aziz. Dia persoalkan pemimpin PN yang mendesak kerajaan menyalur peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.

“Kita tanya mereka balik, masa memerintah dulu adakah mereka terbuka hati untuk beri (peruntukan sama rata) kepada ahli parlimen pembangkang? Tak ada..,” katanya seperti dilapor portal berita.

Nazri seperti ketinggalan kereta api. Dia tiada maklumat apa yang berlaku di Kelantan.

Kerajaan Kelantan masih menyalur peruntukan biarpun Umno Kelantan memutus hubungan dengan PAS pada 22 Januari 2022. Umno Kelantan yang memulakan episod hitam hubungan MN.

Selepas itu ia menjalar ke seluruh negara. Tindakan Jazlan Yaakub seakan direstui Zahid Hamidi. Sikap angkuh Jazlan akhirnya dihukum rakyat Machang pada PRU15.

Beliau tewas kepada Ahmad Fayshal dari PN dengan majoriti 10,154 undi. Sedangkan pada PRU14, Jazlan menang dengan majoriti 2,824 undi.

Dia silap langkah. Kata orang tua-tua, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Episod dukanya bertimpa-timpa. Usaha Zahid mengangkatnya semula sebagai Pengerusi Felcra diketepikan Anwar. Berita itu dilapor meluas media.

Rentetan yang berlaku itu menghantar isyarat Umno Kelantan perlu dikepalai pemimpin lain. Misi Jazlan bukan sekadar gagal, malah Umno sekarang tiada satu pun kerusi parlimen di Kelantan.

Mengambil kira landskap politik yang berlaku sekarang, ramai mencadangkan PAS Kelantan nilai kembali keistimewaan yang dinikmati Adun Umno.

Lagi pun Umno berada dalam kerajaan campuran sekarang. Tentunya peruntukan melimpah.

Selepas PRU14, PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyelamatkan Umno. Umno tidak lama berada di saf pembangkang ekoran Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Malangnya selepas Umno diselamatkan, tiba-tiba digigitnya PAS dan Bersatu. Umno diketuai Zahid memulakan babak menyingkirkan Muhyiddin Yassin di kerusi perdana menteri.

Umno ternyata terlalu cepat melupakan keringat orang lain. Jasa rakan tahaluf hilang begitu sahaja di mata Umno. Sebelum gelombang MN muncul Adun Umno di Kelantan mendapat peruntukan RM50,000.

Tujuh Adun Umno (pembangkang) mendapat peruntukan RM350,000 setahun.
Namun, selepas Piagam MN dimeterai pada September 2019, Adun Umno mendapat kedudukan sama sebagai Adun kerajaan.

Ketika penghujung wabak Covid-19 pada 24 Ogos 2021 mereka juga mendapat peruntukan tambahan RM20,000. Ia bertujuan membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Insya-Allah kerajaan tidak akan simpan wang sehingga dimurkai oleh Allah SWT dan kita akan belanja mengikut kedudukan kewangan kita,” kata Menteri Kelantan Ustaz Ahmad Yakob.

Maka usaha ahli parlimen PN mendesak peruntukan disalur kepada pembangkang wajar dipertimbangkan perdana menteri. Lagi pun itulah mesej perpaduan seperti dikehendaki Istana Negara. – HARAKAHDAILY 5/1/2023

- Advertisement -