Cuaca panas, tiada salji: Pusat peranginan ski Eropah ditutup

Foto di sebelah kiri dirakam oleh Christine Harrison di Le Praz De Lys-Sommans, Perancis pada 1 Jan 2018, sementara foto kanan bertarikh 1 Jan 2023. (FOTO: CNN Travel)
- Advertisement -

PERGUNUNGAN ALPS: Sejak dua dekad lalu, setiap kali musim sejuk tiba di penghujung tahun, Christine Harrison akan bercuti di sebuah resort ski kecil di Pergunungan Alps di Perancis, Le Praz De Lys-Sommans. 

- Advertisement -

Pemandangan dari tingkap caletnya sentiasa lebih kurang sama – terbentang luas pemandangan gunung, bukit dan calet – kesemuanya dilitupi salji tebal.

Namun, senario berbeza sekali sejak mutakhir ini khususnya pada musim sejuk akhir tahun 2022 apabila landskapnya tandus – tiada salji. Peralatan untuk bermain ski akhirnya terpaksa disimpan. Ramai rakan-rakan Harrison yang pada mulanya bersemangat untuk bermain ski akhirnya pulang ke rumah masing-masing.

“Sebenarnya tiada salji turun pada tahun ini (hujung Dis 2022 dan awal Jan 2023),” katanya kepada CNN Travel.

Foto yang dirakam jurugambar tempatan, Mark Bennett di Klewenalp, tengah Switzerland pada 4 Jan 2023 lokasi dipenuhi salji saban tahun sebelum ini dalam tempoh yang sama. (FOTO: CNN Travel)

Sebilangan besar Eropah sedang mengalami keadaan cuaca panas yang tidak mengikut musim, dengan beberapa negara di benua itu merekodkan 1 Jan paling panas pada Hari Tahun Baru 2023 baru-baru ini.

Menurut agensi perkhidmatan meteorologi kebangsaan Perancis, Météo-France, suhu purata agregat pada hari terakhir 2022 di negara itu  adalah melebihi 8 darjah celsius (14.4 darjah Fahrenheit) – lebih tinggi daripada suhu rujukan harian untuk tempoh antara 1991 hingga 2020.

Tarikh 31 Dis 2022 telah dilebalkan sebagai ‘terlalu panas’, dengan suhu tertinggi di Perancis yang dicatat adalah di Dax (Landes) mencecah 23 darjah celcius, manakala di Paris pula mencatat suhu 16 darjah celsius.

“Suhu yang dicatat pada  31 Dis 2022 merupakan hari yang paling panas sejak rekod tarikh 31 Dis direkod setiaap tahun sejak tahun 1947,” kata jurucakap Météo France, Frédéric Nathan kepada Le Monde.

Pemain ski dan papan luncur salji beratur bermain di landasan salji di pusat peranginan Brauneck, di Bavaria, Jerman pada 28 Dis 2022 yang menunjukkan situasi banyak pusat peranginan ski di Eropah kini mengalami kekurangan salji. (FOTO: Picture Alliance/Getty Images)

Sehubungan itu, pusat peranginan ski merentasi Pergunungan Alps, terutamanya di kawasan yang lebih rendah, telah menutup operasi buat sementara waktu kerana cuaca panas ini menyebabkan kurang jumlah salji yang turun, digabungkan dengan hujan lebat yang menghanyutkan salji sejak Dis 2022.

Harrison dan pasangannya, yang berasal dari United Kingdom menyedari kekurangan salji di Le Praz De Lys sebelum mereka tiba, namun  memutuskan untuk pergi juga bercuti di situ.

Mereka tiba di situ pada akhir Dis 2022, namun mendapati keadaan di sana lebih kelihatan seperti musim bunga dengan hidupan liar, khususnya burung-burung terbang berkicauan.

“Burung-burung di sini juga seolah-olah keliru adakah sekarang ini musim salji atau musim bunga,” ujar Harrison.

Pemandangan di Adelboden, Switzerland yang dirakam pada 30 Dis 2022 dalam persediaannya untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Ski Alpine pada 6 Januari 2023. (FOTO: BBC News)

Sementara, Pengarah Urusan pertubuhan kebangsaan yang mewakili pusat peranginan ski, Domaines Skiables de France memberitahu CNN Travel bahawa separuh daripada 7,500 cerun ski di Perancis kini ditutup, disebabkan ‘kekurangan salji dan banyak hujan turun’.

Pada masa ini, ujarnya,  pusat peranginan ski di altitud yang lebih tinggi seperti di Val Thorens pada ketinggian kira-kira 2,300 meter (7,546 kaki) dengan ketinggian tertinggi mencecah 3,230 meter masih boleh beroperasi seperti biasa.

“Namun secara amnya, pusat peranginan ski Eropah di altitud rendah terpaksa ditutup operasinya,” jelasnya.

Di pusat peranginan Ax 3 Domaines, di Perancis yang mencapai ketinggian 2,400 meter pula, jurucakapnya, Jaques Murat memberitahu CNN, operasi di resort itu mula perlahan menjelang penghujung Dis 2022.

Pusat peranginan ski, Villars-sur-Ollon di Switzerland menggunakan salji buatan untuk pengunjung bermain ski dan papan luncur pada 30 Dis 2022. (FOTO: AP)

“Menutup cerun tempat bermain ski pada musim sejuk adalah keputusan yang sukar dari segi kewangan, tetapi menjelang akhir Dis 2022 kami merasakan kami tiada pilihan lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, sesetengah pusat peranginan ski menyesuaikan dengan senario semasa, yang mana aktiviti penyewaan ski ditukar kepada  basikal gunung bagi menggalakkan pelancong  yang mendapati diri mereka ‘terperangkap’ di pusat peranginan tanpa salji untuk masih memanfaatkan kawasan di situ.

“Perubahan iklim sedang berlaku. Kami mengalami situasi yang sama seperti negara jiran Switzerland, Itali dan Austria,” tegas de France lagi.

Dalam pada itu, gambaran yang sama ditunjukkan di Switzerland, di mana stesen cuaca di julat Jura menyaksikan rekod purata harian suhu mencecah 18.1 darjah celcius pada Hari Tahun Baru 2023.

Pusat peranginan Patscherkofel berhampiran Innsbruck, Austria pada 31 Dis 2022 yang ketara kekurangan salji. (FOTO: AP)

Sebuah resort musim sejuk  Switzerland Splugen-Tambo, sebagai contoh terletak ketinggian asas pada 1480 meter, namun telah mengeluarkan kenyataan pada 2 Jan 2023 bahawa operasinya ditutup ‘sehingga diberitahu kelak’.

“Malangnya, disebabkan kekurangan salji yang turun, hujan lebat dan suhu tinggi, kami terpaksa menutup pusat peranginan ski kami mulai 2 Januari 2023, sehingga diberitahu kelak,” ujar satu kenyataan daripada pusat peranginan ski berkenaan.

Bandar Adelboden, juga Switzerland, yang bakal menjadi tuan rumah ski Piala Dunia Ski Alpine pada 6 Januari tahun ini terpaksa menganjurkan acara tersebut di atas landasan salji buatan 100 peratus kerana kekurangan salji asli yang turun kali ini – tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Jerman, Poland dan Republik Czech adalah antara beberapa negara di Eropah yang mencatat suhu awal tahun yang lebih tinggi berbanding biasa – yang menjadikan keadaan bukan di musim sejuk tetapi seperti pada  musim bunga.

Pada 1 Jan 2023 Warsaw mencatatkan  suhu cuaca mencecah  18.9 darjah celcius  – memecahkan rekod  tahun sebelumnya pada 13. 8 darjah celcius; sementara Ohlsbach di barat daya Jerman mencatat suhu 19.4 darjah celcous, dan Bilbao di utara Sepanyol mencatatkan 25.1 darjah celcius

Kawasan pusat peranginan ski Brauneck di Bavaria, Jerman yang dirakam pada 28 Dis 2022 tidak kelihatan seperti berada dalam musim sejuk sepertimana lazimnya sebelum ini. (FOTO: AP)

Ibu negara Republik Chezh, Prague juga mencatatkan malam Tahun Baru 2023 paling panas sejak  247 tahun rekod dicatat, dengan suhu mencecah 17.7 darjah celcius.

Ahli meteorologi yang berpangkalan di London, Scott Duncan menulis tweet pada Hari Tahun Baru 2023 dengan berkata: “Kami baru sahaja melihat hari Januari paling panas dalam rekod bagi banyak negara di Eropah. 

“Sungguh, ia tidak pernah berlaku sebelum ini dalam rekod kami.”

Profesor sains iklim di Universiti Brussels, Wim Thiery berkata aliran jet yang membawa udara panas dari kawasan subtropika ke Eropah juga antara punca yang mencetus dan  menjana suhu menjadi lebih panas, biarpun pada musim sejuk.

“Kesan perubahan iklim secara radikal akan mengubah industri pelancongan musim sejuk di Eropah. Menjelang penghujung abad ini, kita mungkin tidak lagi  boleh bermain ski di Pergunungan Alps. 

“Pada masa hadapan, masalah ini akan menjadi lebih teruk kerana salji akan terus cair selagi iklim kian bertambah panas,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/1/2023

- Advertisement -