Inisiatif pensijilan kotej halal bantu peniaga kecil makanan

Pensijilan kotej halal boleh menjadi inisiatif dalam menggalakkan lagi golongan peniaga menjalankan bisnes makanan secara kecil-kecilan di rumah masing-masing. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

Malaysia merupakan sebuah negara pelopor bisnes halal yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam membangunkan industri ini. 

- Advertisement -

Di samping itu, kelebihan istilah ‘halal’ di Malaysia adalah diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan (government scrutiny) yang menjadi satu kelebihan di mata dunia, menjadikannya sebagai negara yang dirujuk di peringkat antarabangsa dalam pengendalian urusan pensijilan halal. 

Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah dilantik sebagai pihak berkuasa berwibawa halal di negara ini, berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan dan Pensijilan Halal, 2011). 

Governance‘ (Pentadbiran) halal yang jelas oleh kerajaan Malaysia seperti inilah yang membezakan Malaysia daripada negara lain dan membolehkan Malaysia menjadi pemain utama dalam industri halal global.

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan ataupun syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusingan ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan di samping pemilikan kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. 

IKS terdiri daripada beberapa sektor utama merangkumi sektor Pembuatan, Perkhidmatan, Pembinaan, Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian. IKS terbahagi kepada tiga saiz utama –  mikro, kecil dan sederhana.

Penggunaan perkataan halal bagi maksud industri di Malaysia telah bermula seawal tahun 1965 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang terhad dalam bentuk kenyataan sahaja. 

Penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam di negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak. 

Pada 1 September 2002, kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai hanya 28 jawatan.

Walaupun Malaysia mempunyai pasaran industri halal yang luas, hanya sebilangan kecil sahaja usahawan tempatan yang memenuhi permintaan tersebut. 

Selain itu, penglibatan usahawan bumiputera juga didapati masih berada pada tahap agak rendah meskipun terdapat usaha-usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian, agensi dan pemain-pemain industri. 

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), terdapat lebih 200,000 usahawan yang terlibat dalam industri berkaitan halal. 

Walau bagaimanapun, berdasarkan data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pada 2019 hanya sejumlah 6,599 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang telah mendapat pensijilan halal. 

Daripada jumlah tersebut, hanya sekitar 1,000 hingga 1,500 usahawan  yang mempunyai keupayaan untuk mengeksport produk (export-ready).

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 yang lalu ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan pekerjaan dan hilang punca pendapatan. 

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, kebanyakan usahawan menceburi bidang perniagaan berasaskan makanan secara kecil-kecilan di rumah masing-masing. 

Namun, sebahagian mereka tidak dapat memasarkan produk dengan lebih jauh lagi disebabkan tidak melepasi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan oleh kerajaan seperti kebersihan premis, kualiti alatan dan perkakasan yang digunakan, pembungkusan produk dan lain-lain supaya mematuhi prinsip halalan toyyiban.

Hal ini adalah susulan produk yang dihasilkan dari rumah adalah tidak layak untuk memohon pensijilan halal mengikut syarat utama bagi memohon Sijil Halal Malaysia, iaitu pemohon perlu mendaftar dengan SSM, Suruhanjaya Koperasi atau agensi kerajaan lain. 

Selain itu, pemohon juga dikehendaki mempunyai lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta telah mempunyai kilang yang beroperasi sepenuhnya sebelum permohonan dibuat.

Pengarah Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya, Dr Zalina Zakaria berkata bahawa bagi setiap produk, pemohon perlu membuat permohonan untuk label pembungkusan yang mana ia akan disertakan sekali dalam pengiktirafan sijil halal bagi produk tersebut. 

Menurut beliau, hanya pemohon daripada kategori tertentu termasuk pemohon yang memiliki kilang atau premis makanan berasingan dari rumah kediaman yang layak memohon Sijil Pengesahan Halal.

Berdasarkan senarai prosedur yang dijelaskan juga, antara syarat lain yang perlu diketahui adalah tempat penyediaan makanan juga harus mempunyai bangunan berasingan dengan tempat tinggal.

Jika ia berada dalam bangunan yang sama, maka perlu ada pintu masuk yang berasingan ke kawasan pemprosesan.

Maka merujuk kepada kekangan yang dihadapi, wujud penyelesaian dasar biarpun ia mungkin mengambil masa lebih panjang. 

Oleh itu, antara inisiatif solusi lebih mudah dan menggunakan kos yang lebih rendah, cadangan yang diutarakan adalah bagi mewujudkan pensijilan melalui kotej halal. 

Justeru, kotej halal merupakan satu inisiatif bagi menggalakkan lagi golongan peniaga makanan menjalankan bisnes secara kecil-kecilan di rumah.

Cadangan awal inisiatif tersebut diwujudkan dengan melihat pada kekangan yang dialami oleh IKS dalam mendapatkan pensijilan halal.  

Pada kebanyakan masa, kebanyakan peniaga kecil-kecilan gagal melepasi piawaian halal seperti tidak mempunyai premis perniagaan sendiri serta fasiliti yang sesuai dan lengkap. 

Namun melalui inisiatif ini, golongan peniaga diyakini mampu meluaskan lagi perniagaan dengan melalui peluang yang ada bagi memperoleh pensijilan halal dalam industri bisnes.

DR. SITI AISYAH SAMUDIN & DR. HANIRA HANAFI

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya – HARAKAHDAILY 4/1/2023

- Advertisement -