EPL: Newcastle ikat Arsenal, Man United menang lagi

Suasana kecoh ketika perlawanan antara Arsenal dan Newcastle United yang berkesudahan seri 0-0
- Advertisement -

Harapan Arsenal untuk melebarkan jurang pendahuluan kepada 10 mata di Liga Perdana Inggeris (EPL) dimusnahkan oleh Newcastle United apabila kedua-dua pasukan seri 0-0 di The Emirates.

- Advertisement -

Prestasi cemerlang Manchester United pula berterusan apabila menang 3-0 di tempat sendiri ke atas Bournemouth. Pertembungan antara pasukan tempat pertama dan ketiga di London tidak menepati sasaran apabila Arsenal dikecewakan oleh Newcastle yang mencatat rekod bersih ke-10 liga musim ini.

Manchester United mengukuhkan kedudukan empat pasukan teratas, mempunyai jumlah mata yang sama dengan Newcastle apabila gol oleh Casemiro, Luke Shaw dan Marcus Rashford memastikan kemenangan 3-0 di Old Trafford.

Arsenal yang gagal menjaringkan gol buat kali pertama dalam semua pertandingan musim ini, mempunyai 44 mata daripada 17 perlawanan, diikuti penyandang juara Manchester City dengan 36 mata selepas 16 perlawanan.

Newcastle mempunyai 35 mata daripada 18 perlawanan, mendahului United dengan perbezaan gol walaupun bermain lebih satu perlawanan.

Selepas Everton berkongsi mata dengan Manchester City, Sabtu lalu untuk menamatkan tiga kekalahan berturut-turut dalam liga, mereka kembali tewas apabila dibelasah 4-1 di tempat sendiri oleh Brighton & Hove Albion.

Kaoru Mitoma memberikan Brighton pendahuluan dan Everton rebah selepas rehat ketika Evan Ferguson, Solly March dan Pascal Gross menjaringkan gol dalam tempoh lima minit yang membuatkan penyokong setia Goodison Park terpegun dan mula meninggalklan stadium.

Kekalahan ini menyebabkan Everton hanya satu mata di atas zon penyingkiran, sekali gus memberi tekanan besar terhadap pengurus Frank Lampard.

“Kesilapan individu dan isu pertahanan. Begitulah keadaannya,” kata Lampard yang pasukannya boleh terjerumus ke kelompok tiga terbawah berkata: “Ia bukan soal kemarahan. Kami kecewa. Kami mahu memenangi perlawanan.”

Dalam perlawanan lain, Fulham menang 1-0 di Leicester City untuk melangkah ke tempat ketujuh liga.

Luke Shaw menjaringkan gol kedua Manchester United untuk menewaskan AFC Bournemouth 3-0

REKOD SEMPURNA

Arsenal mempunyai rekod 100 peratus di tempat sendiri musim ini, tetapi gagal menembusi pertahanan paling ketat ketika berdepan Newcastle yang berhak meraih satu mata untuk kekal tanpa kalah sejak Ogos lalu.

Eddie Nketiah mendapat peluang terbaik Arsenal pada minit ke-87 tetapi rembatan rendahnya berjaya diselamatkan oleh Nick Pope.

Kekecewaan pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuncak pada masa kecederaan apabila marah kerana pasukannya dinafikan penalti selepas bola hantaran silang Granit Xhaka mengenai lengan Jacob Murphy.

“Kami mempunyai beberapa peluang dan terdapat dua skandal penalti yang tidak diberikan,” kata Arteta.

Manchester United kini unggul lima mata di atas Tottenham Hotspur yang berada di tangga kelima selepas kemenangan keempat berturut-turut.

Pemain tengah Brazil, Casemiro meletakkan Man United di hadapan pada minit ke-23 dan Shaw menjadikan kedudukan 2-0 pada awal babak kedua.

“Kami menjaringkan gol yang hebat dan saya fikir kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak lagi tetapi kami boleh bolos satu atau dua. Saya tidak gembira dengan itu kerana David (de Gea) terpaksa melakukan aksi menyelamat yang baik,” kata pengurus United, Erik ten Hag.

“Saya gembira dengan keputusan itu. Hari ini bukan perlawanan terbaik kami. Kami harus jujur, kami tidak bermain dengan bijak sebagai satu pasukan.”

United kembali beraksi pada hari Jumaat apabila melayan kunjungan Everton dalam pusingan ketiga Piala FA. – REUTERS

- Advertisement -