2023: Cabaran getir hadapi ekonomi menguncup

- Advertisement -

TAHUN 2023 adalah satu tahun yang amat mencabar bagi kita sebagai rakyat Malaysia. Dengan jangkaan Ekonomi Dunia akan menguncup yang memberi kesan langsung kepada negara-negara membangun termasuk Malaysia.

- Advertisement -

Ekonomi menguncup lazimnya berlaku apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun secara konsisten yang memberi kesan langsung kepada peningkatan inflasi dengan kenaikan harga barang dan juga peningkatan pengangguran.

Bagi menghadapi situasi yang bakal berlaku ini, antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah:

1. Sebagai rakyat kita perlu mengutamakan perbelanjaan terhadap barang keperluan berbanding  kehendak.

2. Kerajaan perlu memantau dan memperhebatkan penguatkuasaan terhadap pemain industri bagi memastikan bekalan penawaran cukup di dalam pasaran.

3. Kerajaan boleh menetapkan polisi terhadap barang yang dieksport dengan mengutamakan pasaran tempatan berbanding eksport dalam satu kadar masa yang sesuai bagi menstabilkan bekalan penawaran.

4. Kerajaan bersama dengan pemain industri perlu memperbanyakkan penawaran pengganti terhadap barang keperluan supaya rakyat mempunyai banyak pilihan dalam pasaran yang sekali gus akan menyebabkan keanjalan dalam permintaan dan penawaran pasaran.

Jika kita melihat di dalam teori ekonomi, tatkala ekonomi menguncup golongan kaya lebih banyak melakukan simpanan. Atas sebab ini kita melihat bagaimana bank dunia dan di Malaysia Bank Negara Malaysia menjangkakan kenaikan OPR dalam masa terdekat. Kesan langsung kepada golongan kaya adalah keuntungan atas simpanan yang tinggi kesan kenaikan OPR.

Sebab itu Islam mengajar satu konsep yang sangat dekat dengan kita iaitu konsep sedekah dan zakat. Ini sebagai asas merapatkan jurang pendapatan rakyat sekali gus mengamalkan konsep tolong-menolong.

Buat pengakhirannya, saya ingin mengajak kerajaan hari ini agar buka mata dan buka hati untuk bersama-sama dengan semua wakil rakyat baik pembangkang mahupun kerajaan dalam menghadapi situasi ekonomi menguncup ini agar rakyat dibawah yang betul-betul memerlukan dapat diberi pertolongan.

AHMAD AZLAN ABU BAKAR
Exco Dewan Pemuda PAS
Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 4/1/2023

- Advertisement -