RANTAU PANJANG: Pertubuhan Memperkasa Ummah Malaysia dengan kerjasama syarikat Hikmat Iktisas menyumbang kelengkapan rumah berjumlah RM200,000 kepada mangsa banjir di mukim Rantau Panjang dalam jajahan Pasir Mas.
Pengasas Hikmat Iktisas, Ab Kadir Jailani berkata, atas dasar keprihatinan dan kemasyarakatan, sumbangan peralatan perabot diagih bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di mukim tersebut.
Menurutnya, misi bantuan terbabit merupakan usaha sama Pertubuhan Memperkasa Ummah Malaysia bersama Bedaie, Angkatan Pertahanan Negara (APM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
“Bantuan tersebut sangat diperlukan bagi meringankan beban yang dihadapi mangsa-mangsa banjir.
“Sumbangan ikhlas kelengkapan perabot jarang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang melibatkan tilam, bantal, almari, kabinet, meja kopi dan pelbagai lagi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan kepada penduduk di Masjid Lubok Gong, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut memberi sokongan moral dengan mengadakan program kerohanian membabitkan mangsa banjir.
Lebih 26,513 penduduk di Kelantan terjejas akibat banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini, majoritinya mengalami kerosakan harta benda. – HARAKAHDAILY 3/1/2023