Jeneral (B) Khlir jejaki masjid dengar keluhan rakyat

- Advertisement -

PARLIMEN Ketereh antara lokasi yang dikenali sebagai kubu kuat Umno di Kelantan sebelum ini. Begitu juga Gua Musang dan Jeli. Namun, pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas kawasan itu terlepas ke tangan PERIKATAN NASIONAL (PN). Perubahan geografi politik itu mengulangi apa yang pernah berlaku pada PRU 1990. Oleh itu bagi mendapat gambaran mengenai perubahan itu ikuti temubual wartawan MUHAMMAD ARIF ISMAIL bersama ahli parlimen Ketereh Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor ketika ditemui baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Dato’ melihat apa faktor kemenangan PN di Parlimen Ketereh?

Dato’ Khlir Mohd Nor: Sebenarnya PRU15 banyak faktor yang menyumbang kemenangan PN. Pertama pengundi PAS 100 peratus menyokong saya apatah lagi parti kompenan PN iaitu Bersatu dan Gerakan.

Kedua, saya juga mendapat hampir keseluruhan undi daripada kem tentera dan juga bekas-bekas tentera, kalau dikira hampir 5,000 undi.
Bekas tentera ramai yang mengundi di Ketereh termasuk keluarga mereka.

Ketiga, anak muda keseluruhannya menyokong PN kerana mereka inginkan perubahan.

Golongan itu banyak mendapat maklumat dari media sosial. Faktor seterusnya saya sebagai anak tempatan yang berasal dari Kampung Kubang Kiat. Saudara mara saya ramai di Kadok, Melor dan Kok Lanas, adik beradik sahaja 16 orang.

Dato’ mendapat majoriti begitu besar?

Saya pun tidak tahu daripada mana majoriti yang besar sehingga 23,107 undi, sedangkan pada PRU14 calon BN ketika itu mendapat majoriti 4,626 undi. Sedangkan kali ini saya mendapat 40,542 undi.

Jumlah keluar mengundi 75 peratus. Sebelum ini saya pun banyak membantu bekas-bekas tentera dan menolong budak-budak kampung yang berminat menyertai tentera.

Selepas pencen saya terbabit dengan khidmat kemasyarakatan termasuk membaiki jalan kampung, membersihkan kubur dan sebagainya.

Mungkinkah konflik dalaman Umno Ketereh juga menyumbang kemenangan besar PN di Parlimen Ketereh?

Sebenarnya yang berlaku dalam Umno Ketereh juga turut menyumbang. Faktor Tan Sri Annuar Musa tidak dicalon tidak banyak menjejaskan calon Umno. Barisan Nasional (BN) mendapat 17,435 undi. Kalau kira besar juga.

Pada PRU14 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kok Lanas, calon PAS menang namun kalau tidak dicampur undi tentera. Namun kalah sebab tentera secara keseluruhan menyokong BN.

Ada pihak berpandangan kerana wujud gelombang hijau?

Diakui memang wujud gelombang tersebut kerana rakyat tahu apa yang berlaku. Kalau kita lihat parti yang bertanding PRU15 Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Rakyat pun tahu siapa yang wajar dipilih. Rakyat pilih parti yang bersih tiada salah guna kuasa. Maka PN dan PAS menjadi pilihan. BN pula penuh dengan penyelewengan dan PH rakyat masih ingat lagi pemerintahan 22 bulan sebelum ini.

Hanya PN sahaja yang benar-benar sesuai baik serta mampu menjaga agama bangsa dan tanah air. Begitu juga ketokohan pemimpin PN. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan pemimpin yang bersih tanpa sebarang salah laku.

Apa perancangan pembangunan rakyat di parlimen Ketereh?

Banyak perkara ada dalam perancangan. Antaranya nak baik pulih kemudahan asas terutamanya jalan. Selepas banjir baru-baru ini banyak jalan rosak.
Saya akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), penggawa dan Ketua Jajahan Kota Bharu.

Yang paling diutamakan pembangunan kerohanian. Saya juga berkunjung ke masjid mukim seluruh parlimen parlimen Ketereh bagi mendengar keluhan dan masalah rakyat.

Selain itu saya semak semula satu persatu manifesto yang kita tawarkan pada PRU lepas. Contohnya untuk anak muda, kita kena cari apa yang mereka mahu.

Banyak aktiviti sukan yang mereka minati. Saya akan berbincang dengan anggota Exco kerajaan negeri berkaitan program belia, pertanian dan pelbagai lagi.

Begitu juga bagi golongan dewasa kita cuba rancakkan program di masjid, surau dan madrasah.

Bagaimana dengan isu tempatan?

Sekarang agenda kita untuk mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum. Penghulu-penghulu mukim dan penggawa daerah turut memainkan peranan bagi untuk mendapatkan maklumat-maklumat daripada rakyat. – HARAKAHDAILY 2/1/2023

- Advertisement -