Dahulu marah Umno, sekarang sekongkol kerajaan campuran

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebelum ini bekas pemimpin PAS keluar parti dan mewujudkan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana menolak PAS berbaik (berpakat) dengan Umno.

- Advertisement -

Namun, sekarang keadaan sebaliknya berlaku apabila pemimpin Amanah bersekongkol dengan Umno bagi mewujudkan kerajaan campuran.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebelum ini mereka keluar PAS kerana mendakwa parti itu hendak berpakat dengan Umno.

“Ketika usaha mewujudkan Muafakat Nasional (MN) dahulu depa kata macam-macam, cuba depa ingat balik apa depa kata kat PAS masa tu.

“Jadi apa justifikasi perkahwinan berlainan spesis (PH dan Barisan Nasional) boleh diterima rakyat Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini, Adun Pengkalan Kundur, Dato’ Dr Ismail Salleh pada kenyataan mendakwa kononnya PH mampu menawan kembali Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurutnya Kedah boleh jatuh kepangkuan PH berdasar tiga faktor utama iaitu ‘tsunami PN’ bersifat sementara, kecemerlangan pentadbiran kerajaan persekutuan dan kerjasama politik antara PH-Umno.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, dakwaan Adun Pengkalan Kundur pentadbiran kerajaan persekutuan di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim cemerlang dianggap sebagai meleset.

“Perdana Menteri ke-10 tidak ada apa satu pun yang baru. Hanya asyik dok cari salah orang lain. Isu telur dengan ayam pun tak selesai lagi,” tambahnya.

Menurutnya perdana menteri sekarang hanya berusaha membina persepsi dan cuba mengambil hati rakyat khususnya orang Melayu dengan mempamerkan watak ‘good & moderate Muslim’.

Sedangkan kata beliau rakyat masih ingat apa yang beliau lakukan sebelum ini.

“Hanya bermegah dengan pengiktirafan antarabangsa, sedangkan perkara itu merupakan adat dalam protokol hubungan antarabangsa.

“Benda itu orang boleh atur, bukan satu pencapaian luar biasa sehingga jadi bukti pencapaian PM,” ujar beliau.

Oleh itu katanya PAS Kedah akan kekal istiqamah pendekatan politik yang diambil sejak puluhan tahun berteras Islam dan tidak mengamalkan sikap ekstrem. – HARAKAHDAILY 2/1/2023

- Advertisement -