Kesatuan Bola Sepak Rusia tidak pindah ke Asia

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFU) tidak menyatakan hasrat mereka untuk beralih ke konfederasi Asia walaupun negara itu masih digantung oleh badan bola sepak Eropah, UEFA.

- Advertisement -

Ketua RFU, Alexander Dyukov, berkata UEFA dan badan induk bola sepak global, FIFA memutuskan pada Februari lalu bahawa penyertaan semua pasukan Rusia, sama ada pasukan kebangsaan atau kelab dalam pertandingan digantung berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

“Adakah mana-mana ahli Jawatankuasa Eksekutif memihak kepada Asia? Tiada siapa yang menyatakan pendirian ini,” Dyukov dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Rusia TASS, semalam.

Moscow menyifatkan tindakan negara itu di Ukraine sebagai “operasi khas” tetapi penggantungan itu menghalang Rusia layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar, manakala pasukan wanita dihalang menyertai Kejohanan Eropah, awal tahun ini.

Tindakan itu mendorong RFU berbincang untuk beralih ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun, TASS melaporkan jawatankuasa yang bermesyuarat semalam, memutuskan untuk mewujudkan kumpulan kerja untuk berhubung dengan FIFA, UEFA dan konfederasi lain.

“(Perbincangan) bukan mengenai pemindahan ke Asia… lembaga eksekutif membuat keputusan untuk melibatkan semua pengawal selia untuk merumuskan kedudukan yang disatukan,” kata Dyukov.

RFU dan empat kelab Rusia merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), tetapi rayuan terhadap keputusan FIFA dan UEFA menghalang menyertai semua pertandingan sehingga notis selanjutnya ditolak pada Julai lalu.

AFC sebelum ini menerima ahli baharu dari konfederasi lain seperti Australia yang menyertai pertandingan di Asia selepas meninggalkan konfederasi Oceania pada 2006. – REUTERS

- Advertisement -