Sebelum kemunculan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, perdebatan berterusan dalam bola sepak mengenai siapa pemain terhebat adalah antara dua lelaki: Pele dan Diego Maradona.
Ia adalah perdebatan yang berlaku selama bertahun-tahun di mana-mana, termasuk dalam media massa.
Pele dari Brazil, penjaring gol prolifik yang meninggal dunia pada usia 82 tahun di Sao Paulo, semalam, memenangi Piala Dunia sebagai pemain sebanyak tiga kali pada 1958, 1962 dan 1970 dan meletakkan bandar kecil Santos di peta dunia sebelum menakluki Amerika Syarikat dengan Cosmos New York.
Maradona yang meninggal dunia pada usia 60 tahun pada 2020, membimbing Argentina ke Piala Dunia pada 1986 yang menjadi antara petunjuk prestasi paling berpengaruhnya dan mengangkat Napoli ke tahap yang tiada tandingan di Itali dan Eropah.
Pertikaian mengenai legasi siapa yang lebih hebat memecah belahkan dunia bola sepak apabila Maradona dipilih sebagai Pemain Abad Ke-20 dalam tinjauan pendapat internet FIFA. Terdapat kemarahan yang meluas dengan ramai yang mengeluh bahawa kerjaya Pele yang lebih awal meletakkannya dalam kedudukan kurang baik dalam kalangan peminat yang lebih muda.
FIFA kemudian mengadakan satu lagi tinjauan pendapat yang diundi oleh “keluarga bola sepak” sendiri dan dimenangi oleh Pele, sekali gus membenarkan pasangan itu berkongsi kejayaan.
“Pele, penyerang yang wilayahnya adalah kotak penalti, pemain yang menjaringkan gol untuk keseronokan dan menjadi Menteri Sukan,” tulis FIFA pada masa itu.
“Maradona, mungkin pemain paling lengkap pernah ada, perancang dan penjaring gol, secara teknikal cemerlang, tidak dapat diramalkan dan impulsif (bersifat tergesa-gesa mengikut dorongan hati), baik di dalam mahu pun di luar padang, pemain yang dibelenggu pelbagai masalah selama bertahun-tahun.”
Perbandingan kedua-dua pemain datang dengan pelbagai bentuk: Argentina lawan Brazil, orang biasa lawan atasan, penggemar perhatian lawan pendiam.
Semua orang memilih pihak masing-masing dan kedua-dua protagonis itu pula tidak segan untuk menyatakan perasaan mereka sendiri.
Pele menganggap Maradona seorang yang tidak bermaruah, manakala Maradona menganggap Pele adalah seorang yang menjual diri.
“Sebagai pemain dia hebat… tetapi dia berfikir secara politik,” kata Maradona menyuarakan kritikannya.
Pele menggelar pemain Argentina yang bergelut dengan masalah ketagihan adalah “contoh buruk” dan banyak lagi.
Namun, kedua-dua warga Amerika Selatan itu berbaik-baik apabila mereka bertemu buat kali pertama pada 1979, Maradona terbang ke Rio untuk bertemu Pele.
Pele gembira untuk menasihati bintang baharu itu dan Maradona teruja untuk memenuhi impiannya bertemu pemain Brazil itu.
Namun, hubungan mereka kembali buruk pada tahun 1982 selepas Pele mengkritik Maradona apabila dia dibuang padang kerana kekasaran terhadap pemain Brazil dalam perlawanan Piala Dunia di Sepanyol.
Sejak itu, mereka menghabiskan beberapa dekad mengkritik antara satu sama lain dan kemudian berbaik-baik dengan pujian seikhlas penghinaan.
Pele melahirkan perasaan sedih apabila mendengar kematian Maradona dengan berkata: “Saya kehilangan seorang kawan yang baik dan dunia kehilangan seorang lagenda.”
Messi yang mengukuhkan prestij dirinya dengan membawa Argentina memenangi Piala Dunia ketiga bulan ini, berkongsi foto dirinya bersama Pele dalam penghormatan ringkas kepada bintang Brazil itu di Instagram, menyatakan: “Rehatlah dengan tenang Pele.”
Pemain Portugal, Cristiano Ronaldo, yang dikalahkan oleh Messi di Piala Dunia Qatar, menggelar pemain Brazil itu “Raja Pele” dan inspirasi kepada jutaan orang.
“Dia tidak akan dilupakan dan ingatannya akan kekal selama-lamanya dalam diri kita semua, pencinta bola sepak,” katanya. – REUTERS