NGO OKU prihatin mangsa banjir Kelantan

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Baru-baru ini mangsa banjir dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) terkepung tanpa menerima bantuan dari mana-mana pihak selama seminggu selepas hubungan terputus.

- Advertisement -

Situasi itu berjaya dikesan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) dengan kerjasama Penyelaras OKU Parlimen Rantau Panjang.

Setiausaha Kerja MPPOK, Mohamad Helmy Deris berkata, pihaknya mengenal pasti OKU yang terlibat dengan banjir di Rantau Panjang.

Katanya, seramai 20 OKU di lima kampung iaitu Bendang Ikan, Tasik Gondang, Bukit Buluh Akar, Banggol Petai dan Kuala Kepok menerima sumbangan disampaikan MPPOK.

“Penduduk kampung terbabit terkepung kerana mereka tidak dapat keluar untuk mendapatkan bantuan dan makanan.

“Mereka berdepan dengan suasana getir lebih-lebih lagi penduduk OKU yang mengalami kecacatan fizikal,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 20 OKU di Kampung Banggol Petai di sini, semalam.

Bantuan yang disalur termasuk makanan, keperluan asas lain, pampers pakai buang, susu dan keperluan OKU seperti beg air kencing.

Sementara itu seorang OKU Rosmadi Hassan, 45 berkata, bantuan yang disampaikan MPPOK selepas beliau dan keluarga terkepung kira-kira seminggu akibat banjir baru-baru ini.

Katanya, penduduk ketika itu menunggu bantuan daripada mana-mana pihak kerana hubungan darat dengan tempat lain terputus.

Menurutnya juga pelbagai pihak termasuk NGO sebelum ini hanya menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di penempatan di sepanjang Sungai Golok termasuk pekan Rantau Panjang.

“Alhamdulillah baru pertama kali sampai bantuan seperti ini ke sini. Saya sangat gembira apabila turut mendapat perhatian NGO dan pelbagai pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2022