BANGKOK/SINGAPURA/SYDNEY: Negara-negara Asia bersiap sedia untuk menerima kedatangan pelancong China apabila sekatan Covid-19 ditamatkan.
Pelancong China tidak lagi perlu dikuarantin apabila pulang ke tanah air mulai 8 Januari ini, kerajaan negara itu mengumumkan minggu ini, satu langkah yang dijangka mendorong lonjakan tempahan daripada pasaran pelancongan terbesar dunia pada 2019.
Pelancong China yang perbelanjaan global pernah mencapai AS$255 bilion setahun terhenti ketika wabak itu melanda, meninggalkan lompang besar di pasaran Asia dengan negara-negara dari Thailand hingga Jepun bergantung kepada China sebagai sumber terbesar pelawat asing.
Mengikut data VariFlights, penerbangan antarabangsa ke dan dari China kini pada tahap hanya lapan peratus daripada tahap sebelum pandemik dan syarikat penerbangan sedang berusaha untuk meningkatkan kapasiti apabila pihak berkuasa membenarkan bilangan penerbangan dipertingkatkan.
“Ada sedikit keraguan bahawa China adalah palam pencucuh untuk pemulihan pelancongan Thailand. Namun, ia bukan soal sama ada ia akan berlaku, ia kini hanya soal berapa banyak dan berapa pantas.” kata Pengarah Urusan Perundingan Hospitaliti C9 Hotelworks, Bill Barnett.
Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan tambang murah Vietnam, VietJet Aviation (VJC.HM), berharap untuk memulihkan penerbangan China ke tahap seperti sebelum pandemik menjelang Jun 2023, manakala syarikat lain seperti Singapore Airlines dan Qantas Airways enggan menyatakan sasaran terperinci kerana keadaan berubah dengan pantas.
Syarikat penerbangan China mungkin akan membuat peningkatan kapasiti ketara mulai akhir Mac, bertepatan dengan permulaan musim panas, kata penganalisis Morningstar, Cheng Weng.
Prospek orang Cina yang kaya berbondong-bondong membeli-belah di seluruh dunia meningkatkan saham mewah minggu ini, kerana China menyumbang 21 peratus daripada pasaran barangan mewah dunia yang bernilai AS$371.91 bilion.
Memandangkan cuti Tahun Baru Cina yang lazimnya menjadi tempoh perjalanan kemuncak bagi pelancong China bermula pada 21 Januari, beberapa perniagaan sudah bersiap sedia.
Sofitel Sentosa di Singapura sedang mencipta pakej Tahun Baharu Cina yang ditujukan kepada pengunjung China, termasuk bufet dan pakej romantik untuk pasangan, kata Pengurus Besar hotel itu, Cavaliere Giovanni Viterale.

Perniagaan berkaitan pelancongan mula bersedia
Di Jepun, jurucakap firma bas persiaran Hato Bus, memberitahu bahawa pakej lawatan dalam bahasa Cina yang dihentikan ketika pandemik akan dimulakan pada Januari ini dengan matlamat disambung semula sepenuhnya menjelang musim bunga.
Bagaimanapun, Jepun mengambil pendekatan berhati-hati kerana penyebaran virus yang cepat di negara itu dan mensyaratkan pelawat dari China mencatatkan ujian negatif Covid-19 dengan mereka yang didapati positif mesti kuarantin selama tujuh hari.
Amerika Syarikat yang memutuskan mengenakan ujian Covid-19 mandatori ke atas pelancong China, menyertai India, Itali dan Taiwan, mengambil langkah terbaharu itu, manakala Filipina sedang mempertimbangkan keperluan berbuat demikian.
Bagaimanapun, Australia, Jerman dan Thailand, tidak mengenakan syarat tambahan ke atas pelawat dari China pada masa ini, dengan Perancis menggunakan platform media sosial Sina Weibo untuk mengalu-alukan rakan-rakan China dengan tangan terbuka.
Di Vietnam yang visa pelancong untuk warga China belum dikeluarkan, Hotel Saigon Halong di Teluk Halong menjangkakan menerima ketibaan pelancong Cina mulai suku kedua 2023.
Sebarang harapan untuk pemulihan besar-besaran pelawat dari China ke Australia ketika cuti Tahun Baharu Cina mungkin meleset berikutan tambang penerbangan yang tinggi, kata James Shen, Pengurus Besar Odyssey Travel, agensi pelancongan berpangkalan di Melbourne.
“Masih terdapat sedikit penerbangan dan mereka akan membuat tempahan pada saat-saat akhir. Saya jangka perlu tunggu sebarang lantunan yang bermakna sehingga ledakan perjalanan pada Jun atau Julai tahun depan,” katanya. – REUTERS