KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan dana berjumlah RM6 juta untuk menggerakkan misi bantuan banjir di negeri-negeri terjejas, dengan mendapat kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara NGO terlibat ialah Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Hospital Pusrawi, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), Yayasan Taqwa dan MAIWP Dagang.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata bahawa tiga buah negeri yang teruk dilanda bencana banjir baru-baru ini terdiri daripada Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing akan diberikan peruntukan sebanyak RM1 juta.
Selain itu, ujar beliau, bantuan turut akan disalurkan kepada tSelangor, Perak dan Johor yang juga baru-baru ini dilanda musibah banjir.
Menurut beliau lagi, sejumlah RM2 juta diperuntukkan untuk menyediakan barangan keperluan mangsa banjir seperti telekung, makanan dan peralatan elektrik.
“RM2 juta ini juga bagi menyediakan sedikit bantuan dan belanja untuk menggerakkan skuad MAIWP insani menolong mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menyumbang yang mana jumlahnya sebanyak RM1 juta dan disatukan dengan bajet kerajaan persekutuan bagi membantu mangsa banjir,” jelas beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelepasan Skuad MAIWP Insani Misi Bantuan Banjir 2022, di Kompleks Darul Kifayah, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.
Tambah beliau, pihaknya cakna dan sangat mengambil berat situasi banjir yang melanda negeri-negeri di Malaysia, khususnya di tiga negeri tersebut yang dilanda banjir teruk.
Justeru, ujar Mohd Daud, atas dasar prihatin MAIWP, pihaknya menggerakkan skuad MAIWP Insani bagi membantu mangsa banjir dari sudut tenaga kerja untuk membersihkan rumah.
“Sebanyak 1,500 orang akan kita santuni bagi setiap negeri, walaupun tak ramai tapi dapat melihat wajah-wajah mereka ceria dengan tenaga dan kudrat yang kita kerahkan untuk membantu membersihkan rumah mereka.
“Hari ini kita lancarkan ekspedisi ini untuk mereka pergi ke Kelantan dan Terengganu selama tiga hari disana untuk misi bantuan banjir.
“Kita doakan kepada Allah SWT supaya memberikan kesihatan dan kekuatan badan dan semangat jitu kepada anggota skuad misi banjir MAIWP ini dalam memberikan sedikit kegembiraan, rasa tenang kepada mangsa banjir yang sedang dalam keadaan kesusahan.
“Mudah-mudahan MAIWP dan semua rakyat Malaysia yang banyak membantu mangsa banjir diberikan rezeki yang melimpah ruah khususnya kepada pembayar zakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/12/2022