
NEW YORK: Taufan salji atau atau kesan ledakan ‘bom siklon’ artik, sehingga Isnin (26 Dis) telah membunuh sekurang-kurangnya 59 nyawa di Amerika Utara, dengan 55 daripada mangsa adalah di Amerika Syarikat termasuk 27 daripadanya di bandar Buffalo, Erie County di barat New York.
Empat lagi maut dan 50 yang lain dikejarkan ke hospital selepas sebuah bas penumpang terbalik di jalan raya yang dipenuhi ais di Highway 97C-Okanagan Connector, dalam wilayah British Columbia di Kanada pada hari sambutan Krismas (Ahad, 25 Dis); sementara di Buffalo terdapat kesan ‘tasik salji’ dilihat pada Isnin akibat udara yang sangat sejuk bergerak ke perairan tasik yang lebih panas suhunya, lapor News.sky.
Sementara NBC News melaporkan bahawa kematian direkodkan di 12 negeri AS meliputi Colorado, Illinois, Kansas, Kentucky, Michigan, Missouri, Nebraska, New York, Ohio, Oklahoma, Tennessee dan Wisconsin.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS dalam buletinnya pada jam 6.43 pagi Isnin menyatakan bahawa hampir empat kaki salji melanda di lapangan terbang Buffalo pada Ahad (25 Dis) dengan kadar dua hingga tiga inci setiap sejam di selatan Buffalo, mencatat pengumpulan mencecah 6 hingga 12 inci dan sebanyak 1 hingga 2 kaki di Jefferson dan daerah Lewis utara Erie County.
“Mangsa yang maut akibat taufan salji di wilayah Erie County termasuk individu yang ditemui beku di dalam kenderaan yang terkandas di jalan-jalan raya, manakala penyelamat bergelut untuk membantu mangsa dalam melawan ‘hentaman’ cuaca sejuk melampau berkenaan.
“Jumlah kematian akibat taufan salji dahsyat itu dijangka meningkat apabila salji terus menyelimuti Erie County, menyebabkan jalan-jalan raya di banyak kawasan tidak dapat dilalui – majoritinya di Buffalo,” kata Eksekutif Daerah, Mark Poloncarz dalam sidang akhbar pada Isnin.

Menurut beliau, salji lebat dijangka melanda di Erie County hingga petang Selasa (27 Dis), sementara di seluruh AS, suhu terus menjunam salji yang tebal yang melanda telah mengganggu perjalanan dan memerangkap orang ramai untuk bertahan di dalam kediaman masing-masing pada sambutan Krismas tahun ini.
“Ini bukan Krismas yang kita harap atau dijangkakan.
“Keganasan taufan salji yang berlaku tidak seperti yang pernah dilihat di rantau ini. Salji turun melanda ‘dengan penuh dendam kesumat’ dan ia belum melanda Erie County pada tahap maksima,” ujar Poloncarz.
Sementara Gabenor New York, Kathy Hochul berkata pada hujung minggu lalu bahawa banyak ambulans dan trak bomba negeri itu sendiri tersangkut di dalam timbunan salji.
“Kami tahu bahawa taufan salji akan kembali melanda,” ujarnya lagi pada petang Isnin, sambil melabelkan taufan salji kali ini sebagai ‘berlaku sekali sejak berzaman’. – HARAKAHDAILY 27/12/2022