Perpaduan yang wajib dan haram

- Advertisement -

SEMUA kumpulan mengajak kepada perpaduan mengikut kepercayaan agama dan ideologi masing-masing. Bermula daripada peringkat rakyat sehinggalah peringkat satu bangsa, satu negara dan antara berbagai-bagai bangsa dan negara.

- Advertisement -

Kesemua ajaran itu tidak lengkap dan tidak memenuhi ciri-ciri fitrah manusia yang tidak mungkin dapat disatukan laksana barangan yang tidak bernyawa dan tidak berakal. Hal ini disebabkan manusia itu bukan sahaja jasad yang bernyawa, berakal dan berilmu, tetapi juga mempunyai nafsu yang tidak boleh dikawal dengan mudah.

Islam menegaskan prinsip perpaduannya sendiri mengikut petunjuk Allah, Pencipta manusia yang Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Bijaksana. Perkara ini wajib dipercayai dan dilaksanakan oleh mereka yang beriman, demi kebaikan di dunia dan di akhirat.

Hanya perpaduan yang mengikut hidayah (petunjuk) Allah sahaja akan membawa berkat, berwawasan kukuh dan kekal, daripada dunia hingga akhirat.

Allah SWT menegaskan prinsip dan konsep perpaduan secara amali dalam al-Quran kepada mereka yang beriman, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤ وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ١٠٥﴾

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu kerana ni‘mat Allah, kamu menjadi orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (103); Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung. (104); Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat. (105)” (Surah Ali ‘Imran: 103-105)

Petunjuk perpaduan umat itu dilaksanakan sehingga berjaya menegakkan sebuah kerajaan perpaduan yang sebenarnya yang dipimpin oleh Islam, dengan berpegang teguh kepada agama Allah (Islam). Keadaan itu telah berjaya menyatukan generasi awal bangsa Arab yang paling liar dan ganas, setelah itu dengan mudah berjaya menyatukan umat manusia daripada pelbagai bangsa dan agama yang lebih besar jumlahnya dan paling majmuk masyarakatnya.

Perpaduan itu diwajibkan kepada umat Islam terlebih dahulu, kerana mereka diwajibkan memimpin seluruh manusia, melalui pendekatan menyampaikan Islam tanpa paksaan. Seterusnya, mengajak seluruh manusia bermasyarakat majmuk berada di bawah keadilan kerajaan Islam untuk semua, dalam kehidupan bermasyarakat dalam urusan dunia. Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya, semulia-mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Peranan aqidah beriman yang ada dalam diri kepimpinan Islam yang bertaqwa akan mengawal dirinya agar beristiqamah menegakkan rahmat Allah SWT dan keadilan Ilahi kepada semua. Hal tersebut merupakan ciri penting yang tidak terdapat dalam agama lain dan ideologi ciptaan manusia.

Firman Allah SWT:

﴿لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾

“Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal: 63)

Rasulullah SAW melaksanakan konsep perpaduan ketika menegakkan negara di Madinah dengan menyatukan penganut Islam dalam kalangan Muhajirin (yang datang daripada luar Madinah) dan Ansar (penduduk asal Madinah).

Kemudiannya, diikuti pula dengan penyertaan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem dan berdamai dengan pelbagai agama, sama ada dari Madinah dan dari luarnya mengikut sempadan yang telah ditetapkan. Mereka semua termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam, penganut dan negaranya.

Semuanya telah dirakamkan dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang terkenal. Konsep perpaduan yang menerima Islam memimpin, hukum Islam adalah tertinggi bagi menyelesaikan semua masalah yang berlaku dengan adil dan saksama, serta hak kebebasan beramal dengan agama masing-masing yang dijamin dalam al-Quran dan Sunnah. Perkara berikut telah dinyatakan dalam piagam itu:

‌وَإِنَّهُ ‌مَا ‌كَانَ ‌بَيْنَ ‌أَهْلِ ‌هَذِهِ ‌الصَّحِيفَةِ ‌مِنْ ‌حَدَثٍ ‌أَوْ ‌اشْتِجَارٍ يُخاف فَسَادُهُ، فَإِنَّ مردَّه إلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan sesungguhnya apa-apa yang berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam piagam (perjanjian) ini seperti perbalahan atau pertelingkahan yang dibimbangi merosakkan hubungan sesama mereka, maka hendaklah ia dirujuk penyelesaiannya kepada Allah (al-Quran) dan Muhammad SAW (Sunnah).” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, ms. 504)

Allah SWT telah memerintahkan kepada Rasulullah SAW (pemimpin negara) agar menjadikan Kitab Allah sebagai satu-satunya petunjuk yang tertinggi, di samping dirinya sendiri yang menjadi teladan. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِي ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ لِّقَوۡمٖ يُؤۡمِنُونَ٦٤﴾

“Dan Kami tidak menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah al-Nahl: 64)

Adapun perpaduan tanpa petunjuk Allah SWT tersebut adalah diharamkan, disebabkan oleh kerapuhannya. Ikatannya yang membawa padah di dunia dan akhirat kerana pelaksanaannya tidak berprinsipkan aqidah dan tidak mempunyai konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar yang mengawal kehidupan manusia serta pergaulannya dalam bermasyarakat. Hal ini disebabkan tiada asas aqidah untuk mengawal diri dan tidak berakhlak.

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾

“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48); Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasiq. (49); Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” (Surah al-Ma’idah: 48-50)

Allah SWT memberikan amaran yang paling keras terhadap orang yang memilih kalangan bukan Islam dalam kerjasama semata-mata bagi mendapatkan kuasa, sehingga mereka meninggalkan konsep kepimpinan Islam. Allah meletakkan golongan itu dengan sifat munafiq. Firman Allah SWT:

﴿بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا١٣٩ وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا١٤٠﴾

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138); (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman-teman penolong) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139); Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam Jahannam. (140)” (Surah al-Nisa’: 138-140)

Islam mengharamkan sebarang hubungan yang menghilangkan kepimpinan Islam atau tidak menegaskan kedaulatan Islam atau tiada kuasa Islam untuk mentadbir kehidupan manusia. Begitu juga, apabila bersama kalangan yang nyata bermusuh terhadap Islam, sama ada mereka yang menghina ajarannya atau bermusuh terhadap penganutnya atau bersikap melampau mahu berkuasa terhadap umat Islam. Bahkan, kalangan Islam yang melakukan perkara sedemikian dianggap munafiq.

Rasulullah SAW beristiqamah dengan tegas berpegang kepada prinsip dan konsep yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT, sehinggakan Baginda sanggup membatalkan hubungan dengan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar syarat dan adab perpaduan dalam Islam.

Teladan Rasulullah SAW itu menjadi amalan negara Islam generasi awal sepanjang zaman, sehingga berjaya menjadi sebuah negara besar, mempunyai masyarakat majmuk berbagai-bagai agama dan bangsa yang menjangkau tiga benua besar, dari Asia Tenggara sehingga Asia Tengah dan Asia Barat, Utara Afrika dan Selatan Eropah.

Kita menyaksikan ideologi yang memimpin kerajaan perpaduan berasaskan bangsa, ekonomi, sempadan wilayah, kerjasama pertahanan dan keamanan sangat singkat masa bertahannya. Hal ini demikian kerana, kepimpinan tidak boleh mengawal nafsu manusia yang tidak dikawal oleh akal dan ilmu yang berpandukan iman atau aqidah yang menjadi petunjuk Allah Pencipta alam.

Allah SWT menolak golongan pelampau yang merosakkan perpaduan, walaupun mereka itu daripada kalangan penganut Islam sendiri. Perkara ini ditegaskan oleh firman-Nya:

﴿وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى الۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٩﴾

“Dan jika ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang, maka hendaklah kamu mendamaikan antara kedua-duanya! Tapi jika salah satunya melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah kamu perangi yang melanggar perjanjian itu sehingga dia kembali kepada perintah Allah. Sekiranya dia telah kembali, damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujurat: 9)

Islam membenarkan perbezaan pendapat, bahkan kebebasan beragama tanpa paksaan dengan sempadan yang tidak hanyut (liberalisme). Akan tetapi, Allah mewajibkan agar berlaku adil kepada semua dan diharamkan bersikap melampau dan zalim (ekstrem), walaupun terhadap musuh bukan Islam yang bukan dalam kalangan rakyatnya. Perkara ini dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَآنُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Islam menegaskan bahawa perpaduan itu wajib dipimpin oleh Islam yang bercirikan keimanan kepada aqidah, syariat dan akhlaknya yang terdapat pada kepimpinan, bukan sekadar mempunyai ilmu dan pengaruhnya sahaja tanpa hidayah Allah SWT. Pada masa yang sama, perpaduan itu disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan tidak memusuhi Islam, serta melarang dengan hukum haram daripada bersama dengan golongan yang nyata ekstrem dan bermusuh terhadap Islam dan penganutnya. Firman Allah SWT:

﴿۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَٰئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩﴾

“Mudah-mudahan, Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa; dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (7); Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangimu kerana agama sebagai kawanmu dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 7-9)

Inilah petunjuk Allah SWT daripada kitab mukjizat dan pelaksanaan Rasulullah SAW yang menjadi teladan sebenar, bukannya ciptaan manusia yang berakal dan bernafsu, sekalipun berilmu tetapi tiada hidayah. Fahamilah firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah, diperintahkan oleh Allah agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh:  2 Jumada al-Akhirah 1444 / 26 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 26/12/2022

- Advertisement -