Mahligai Sejahtera rai pengantin keluarga kurang mampu

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Kedah meneruskan program Mahligai Sejahtera bagi meraikan pasangan pengantin yang bermula sejak pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

- Advertisement -

Pada kali ini seramai lima pasangan pengantin diraikan pada program tersebut.

Pengarah program, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, program itu dirancang beberapa bulan lalu, namun berlaku sedikit kekangan berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Walaupun pun hanya lima pasangan kali ini berbanding 27 pasangan pada 2019 tetapi kita teruskan juga untuk meraikan pasangan yang telah mendaftar,” katanya pada majlis berkenaan semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya, Setiausaha, Musoddak Ahmad dan Ketua Dewan Ulamak, Mohd Rodi Abdul Rahman.

Mahligai Sejahtera merupakan kesinambungan program kerajaan negeri ketika Kedah di bawah pentadbiran Ustaz Azizan.

Namun selepas itu diteruskan PAS Kedah sebagai program kebajikan bagi meraikan pasangan pengantin keluarga berpendapatan rendah.

Siti Ashah berkata, ketika PAS mentadbir kerajaan negeri (2008-2013) program Mahligai Sejahtera diadakan sebanyak dua kali.

Menurutnya kali pertama program Mahligai Sejahtera dianjur pada 2019.

“Program sebegini memberi peluang kepada pasangan pengantin merasai majlis resepsi ala-hotel dengan bayaran yang rendah.

“Setiap pasangan dikenakan pendaftaran sebanyak RM2,000 namun pakaian pengantin, tempat, urusan kenduri, makan minum, cenderahati dan lain-lain disediakan pihak penganjur.

“Malah waris setiap pasangan pengantin dibolehkan menjemput tetamu masing-masing seramai 300 orang,” katanya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah.

Beliau turut menasihatkan Raja Sehari membina rumahtangga dengan asas agama untuk melahirkan keluarga bahagia.

Terdahulu lima pasangan Raja Sehari diarak masuk ke Dewan Fadzil Mohd Nor, selepas menyaksikan pertunjukan seni silat.

Setiap pasangan terbabit juga mendapat ‘hadiah perkahwinan’ sebanyak RM500 dan hadiah cabutan bertuah. – HARAKAHDAILY 26/12/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!