Agih dana sumbangan Syed Mokhtar bantu pesawah

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

MACHANG: Dana yang disumbang korporat dermawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kepada kerajaan Malaysia sebanyak RM60 juta wajar disalur kepada golongan pesawah yang terjejas akibat banjir.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Machang Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, ramai pesawah terkesan akibat banjir yang melanda minggu lepas.

“Kita masih tidak tahu ke mana wang itu akan disalur. Bagaimana pula cara pesawah dapat memohon mendapat bantuan tersebut,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau bersama Adun Kemuning Mohd Roseli Ismail meninjau lokasi sawah di Kampung Sungai Hala yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya pesawah di kampung terbabit mengalami banyak kerugian di mana beratus ekar bendang rosak sehingga tidak dilakukan aktiviti pertanian dalam tempoh terdekat.

Kata beliau situasi itu menjejaskan punca rezeki pesawah untuk tempoh enam bulan akan datang.

“Ditambah pula dengan kerenah birokrasi melambatkan bantuan yang dipohon melalui borang yang diberi Jabatan Pertanian. InsyaAllah saya akan bertemu dengan agensi terbabit untuk mendapat penjelasan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya juga jalan ke sawah rosak akibat arus banjir yang deras sehingga menyukarkan pesawah dan penduduk untuk datang ke bendang.

Pada awal Disember lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memberitahu Syed Mokhtar bersetuju membayar RM60 juta kepada petani demi kebajikan pesawah terutama yang berada bawah garis kemiskinan.

Menurutnya tokoh korporat itu membayar RM10 juta bulan ini dan RM50 juta lagi tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 26/12/2022

- Advertisement -