Itu memang ‘handbag dior’

- Advertisement -

AHLI PAS tidak akan ke mana-mana jika ketaasuban ahli terhadap pimpinan mereka, keterlaluan. Mereka akan menyokong semua tindakan bukan sahaja pimpinan mereka, malah keluarga pimpinan juga, tanpa syarat. Walaupun sudah ditunjukkan kebenarannya, mereka tetap menafikannya. Inilah sikap yang sangat merugikan jemaah, menolak kebenaran.

- Advertisement -

Terbukti baru-baru ini, berkenaan tularnya gambar isteri Menteri Besar Kelantan yang mengenakan beg tangan berjenama Dior berharga RM26,000 itu. Terdapat lima kebenaran yang ditunjukkan oleh penulis dalam hantarannya itu, dapat saya kesan. Apa pun saya harap ahli PAS dapat menerimanya dengan hati terbuka. Saya hanya nyatakan kebenaran.

Kebenaran pertama ialah sememang orang Islam ahli syurga, kerana agama yang diterima di sisi Allah ialah Islam. Sesiapa yang bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, maka dia Islam. Apabila menjadi orang Islam, walaupun dia seorang berdosa, tetaplah akan ke syurga, jika tidak mensyirikkan Allah. Agama lain tidak diterima Allah, maknanya penganutnya akan ke neraka.

Tidak perlu orang kafir menyindir kami kerana kami tahu di mana kedudukan kami selepas mati. Kami ada keyakinan atas perkara sam’iyyat iaitu perkara ghaib. Neraca, titian sirat, dosa pahala, hisab, syafaat Rasulullah, syurga dan neraka. Semua diterangkan dalam kitab suci kami, al-Quran. Yang patut bukan Islam fikirkan ialah nasib kamu selepas mati.

Kebenaran kedua. Benarlah kata orang cinta itu buta. Setelah bercinta dengan Umno, sekarang PH gigih menyerang PAS dan melupakan isteri ketua musuh lama mereka yang mereka gelarkan Imelda Malaysia dahulu. Ketika diperiksa rumahnya, Imelda Malaysia itu dikatakan mempunyai koleksi beg tangan berjenama Birkin buatan Hermes, Bijan dari Iran (dikatakan ejaan terbalik Najib) yang bernilai jutaan ringgit. 

Sehingga ditanya di dalam Parlimen berkenaan isu beg berjenama ini oleh wakil DAP. Tetapi sekarang, ketiaknyapun dicium, wangi. Sedangkan kalau dahulu, jangankan memandang foto, disebut namapun dibenci orang. Saban hari diberi gelaran, badak airlah, puakalah, Queen Controllah, penuh mulut disebutnya. Pernah dibandingkan beg tangannya dengan beg tangan isteri Perdana Menteri Singapura yang murah itu. Sekarang langsung dilupakan isu beg tangan, tetapi difitnah pula isteri pimpinan PAS pula yang beronar.

Kebenaran ketiga, Terengganu dan Kelantan, ialah negeri ‘Malay Belt‘ tulen. Dan apabila orang Cina atau India luar yang datang cuba menyerang, ia tidak akan berjaya insya-Allah paling kurang untuk beberapa dekad ini, apatah lagi dengan memainkan isu agama dan penipuan. Ini kerana Cina dan India yang tulen di kedua negeri ini, tidak akan berkurang ajar dengan ulamak. Mereka tahu akibatnya, mereka yang akan kalah. Sudah terbukti dalam PRU15.

Keempat. Kebenaran jelas bahawa wanita Kelantan, pandai menyimpan. Mereka akan membeli emas jika ada duit yang banyak. Mereka juga pandai berniaga. Mereka tahu nilai wang akan jatuh jika membeli beg tangan, kerana susut nilai apabila dijual kembali. Manakala emas adalah pemegang nilai, terutama ketika inflasi. Jadi amat benarlah jawapan itu, RM26,000 itu, lebih baik lagi dibeli emas daripada beg tangan.

Dan kelima, inilah kebenaran paling pahit untuk ditelan. Maaf ahli PAS, saya terpaksa membocorkan rahsia, benar, beg tangan isteri Menteri Besar Kelantan itu pasti beg tangan dior. Sebab semua wanita di Kelantan, Besut dan Setiu apabila memakai beg tangan, orang yang melihatnya sememangnya akan mengatakan beg tangan itu beg tangae dior, sebab bukan beg tangae demo, tidak kiralah jenama apa.

Eh mahal beg tangae dior tu?
Biar ko diorlah,
Dior beli sdiri ko?
Bukae hok mu, hok dior, loh gi lah.
Pehea blako deh adik kakok?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 25/12/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -