Piala Liga: Man City ketepikan Liverpool 3-2

Erling Haaland menjaringkan gol pertama City
- Advertisement -

Manchester City menewaskan penyandang juara Piala Liga, Liverpool 3-2 dalam perlawanan mendebarkan, mendahului tiga kali sebelum bertahan untuk mara ke suku akhir.

- Advertisement -

Pemain pertahanan, Nathan Ake menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-58 selepas Mohamed Salah menyamakan kedudukan seminit selepas Riyad Mahrez meletakkan City di depan pada awal babak kedua.

Erling Haaland menjaringkan gol ke-24 dalam semua pertandingan musim ini untuk meletakkan City di hadapan pada minit ke-10 di Stadium Etihad. Liverpool bertindak balas pada minit ke-20 melalui Fabio Carvalho selepas menyambar hantaran James Milner.

Pertemuan ini adalah satu lagi perlawanan pantas dan sengit antara dua pesaing yang menjadikan perebutan kejuaraan Liga Perdana yang dramatik musim lalu dengan City muncul juara. City akan bertandang ke Southampton pada saingan suku akhir.

Jurulatih Liverpool, Juergen Klopp berpendapat jaringan Haaland adalah ofsaid dan mengeluh kerana teknologi VAR tidak digunakan sehingga peringkat separuh akhir Piala Liga.

“Kita ada VAR, pengadil sudah biasa dengan VAR. Teknologi sudah ada, kenapa kita tidak menggunakannya?” kata jurulatih Jerman itu.

“Kami bekerja keras, namun tidak cukup bagus untuk malam ini bertemu City di gelanggang mereka. Ia akan sentiasa menjadi perlawanan yang amat sukar.”

Jurulatih City, Pep Guardiola, yang menikmati kemenangan pertama ke atas Liverpool dalam enam perlawanan semua pertandingan, berpuas hati dengan prestasi pasukannya.

Mohamed Salah dikawal ketat pemain City

“Kami tidak boleh mengatakan ia bukan perlawanan yang bagus. Bukan mudah untuk menentang Liverpool kerana mereka mempunyai struktur pertahanan paling sukar pernah saya hadapi dalam karier saya,” katanya.

Haaland kelihatan segar selepas berehat panjang berikutan kegagalan Norway layak ke Piala Dunia, memberi sumbangan besar kepada permainan City, termasuk menyediakan peluang besar untuk Cole Palmer, tetapi pemain muda itu terlepas peluang itu.

Haaland pula tidak melepaskan peluang seperti itu apabila menghulurkan kaki kirinya untuk menghantar hantaran lintang Kevin De Bruyne ke dalam jaring.

Namun pertahanan City seperti hilang tumpuan yang membolehkan Liverpool melepasi kawasan mereka dan menyamakan kedudukan menerusi Carvalho.

Pasukan Guardiola kemudian kembali menguasai perlawanan dan tidak lama selepas rehat, Mahrez mengawal bola hantaran Rodri dengan sebelah kaki dan merembatnya rendah ke dalam jaring dengan kaki lain.

Seperti yang sering berlaku sejak beberapa tahun lalu, Liverpool kembali bangkit dan seminit kemudian, Darwin Nunez melakukan larian melepasi sayap kiri untuk mengumpan bola ke arah Salah yang melakukan penyudah untuk gol penyamaan.

City meraih gol kemenangan mutlak apabila Ake melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran silang yang menarik daripada De Bruyne. – REUTERS

- Advertisement -