
RANTAU PANJANG: Keseluruhan pekan Rantau Panjang, Kelantan ditenggelami air banjir sehingga 0.5 meter akibat hujan lebat sejak semalam.
Hasil tinjauan HarakahDaily di pekan Rantau Panjang mendapati operasi perniagaan di sini keseluruhannya ditutup akibat premis yang dimasuki air.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Anwar Abu Bakar berkata, pihaknya bagaimanapun membuat tinjauan dan pemantauan secara berkala bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Kami membuat tinjauan di seluruh kawasan banjir di Kelantan sekaligus membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
“Sekiranya hujan berterusan kami menjangka paras kenaikan air akan terus meningkat,” katanya.
Menurut laporan, ketiga-tiga pintu masuk utama ke Pekan Rantau Panjang digenangi air sejak malam tadi (18 Dis).

“Ini menyebabkan kenderaan ringan tidak boleh melalui kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai misi menyelamat mangsa banjir di di sini, hari ini.
Anwar juga menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dan mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku ketika banjir melanda.
“Sehubungan itu, ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak kecil daripada bermain air banjir,” tegas beliau.

Kanak-kanak lemas dalam banjir
Sementara itu seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh dalam banjir di halaman rumah keluarganya di Kampung Tok Deh, di sini, hari ini.
Neneknya Siti Khadijah, 52, berkata, ketika kejadian Mohd Putera Zafran Mohd Ashwadi (mangsa) berada di rumah bersama ibunya, Noriza Che Jusoh yang sedang memunggah barangan selepas rumahnya dinaiki banjir.

“Sebelum kejadian mangsa sedang bermain dengan kakaknya dan saya bersama emaknya sedang mengemas dan mengangkat barang-barang di dapur.
“Selepas didapati cucu saya terjatuh dan kami cuba menyelamatkan, namun tidak berjaya dan segera mendapat bantuan Bomba dan Penyelamat,” katanya.
“Sebelum kedatangan pasukan penyelamat, bapa saudara mangsa cuba menyelam untuk menyelamatkan Zafran, namun tidak berjaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2022