Banjir: Khidmat Malaysia rakam takziah tiga beradik maut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia mengambil perhatian serius terhadap perkembangan bencana banjir yang sedang dihadapi oleh negara ketika ini, kata Pengerusinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

- Advertisement -

Terbaharu, ujarnya tiga beradik perempuan maut dan dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak di Tumpat pada pagi tadi.

Menurutnya, mengikut laporan media, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena pula kepada dua adiknya yang turut berada di hadapan rumah.

“Khidmat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan sudah tentulah peristiwa ini sangat menyedihkan kita semua apabila melibatkan kehilangan nyawa,” ujarnay dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada semua agar berwaspada ketika di musim hujan yang melanda ketika ini.

Tambahnya, elakkan untuk keluar rumah dan jika kawasan anda dilanda banjir, pantaulah keselamatan ahli keluarga dan jiran tetangga kerana bahaya berada di mana-mana ketika bencana banjir berlaku.

“Perlu segera berpindah bila kawasan kediaman dinaiki air dan jangan tunggu sehingga waktu malam untul berpindah kerana ia bakal menimbulkan risiko terhadap keselamatan dalam suasana tidak menentu ketika ini,” ujarnya.

Katanya lagi, semua pihak mesti mematuhi SOP dan arahan pihak berkuasa semasa bencana banjir termasuklah apabila berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Belaiua menambah, semua perlu sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan sepanjang berada di PPS serta segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami masalah kesihatan.

“Paling penting, jaga keselamatan kita bersama. Semoga kita semua dilindungi dan dipermudah urusan oleh Allah SWT,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Dalam kejadian yang berlaku jam 11.45 pagi tadi, tiga beradik, Nor Syazwani Mohd Nazir, 33; Sakinah, 29, dan Nurul Fatiah, 27, maut dipercayai akibat renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah jirannya di Kampung Bendang Surau.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut dengan kerjasama rapat Suruhanjaya Tenaga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

TNB dalam satu kenyataan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian itu dan membuat spekulasi.

“Beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menghormati perasaan serta sensitiviti keluarga mangsa,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 19/12/2022

- Advertisement -