16 keluarga harungi arus banjir 300 meter

Penduduk Kampung Kelapa Wangi, Pasir Mas, Kelantan yang terperangkap selama beberapa jam di kediaman mereka mengambil inisiatif berjalan kaki mengharungi arus banjir sejauh 300 meter, sebelum diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat.
- Advertisement -

PASIR MAS: Selepas beberapa jam terperangkap akibat banjir di Kampung Kelapa Wangi, penduduk merangkumi 16 keluarga telah berjaya dipindahkan anggota Bomba dan Penyelamat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hari ini.

- Advertisement -

Pengalaman yang dilalui mereka agak mencabar, apabila kesemua mereka terpaksa berjalan kaki mengharungi arus banjir sejauh 300 meter dari kediaman masing-masing untuk keluar ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan.

Seorang penduduk, Kamarulzaman Salleh berkata, keluarganya dibantu anggota Bomba dan Penyelamat dengan membawa mereka ke PPS Pasir Mas.

“Sejak semalam, kediaman kami dinaiki air banjir sehingga memasuki ke dalam rumah menyebabkan kami terpaksa berpindah.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak yang membantu menyelamatkan kami,” katanya yang mempunyai 10 orang anak, ketika ditemui di  PPS Pasir Mas, hari ini.

Sementara, seorang penduduk Adira Daud, 48 terpaksa berjalan menggunakan tongkat disebabkan masalah kesihatan ketika berpindah ke PPS.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, pihanyak sentiasa meronda dan meninjau kawasan bagi memastikan keadaan serta keselamatan penduduk terkawal.

“Misi menyelamat dan membantu mangsa banjir masih diteruskan dengan membawa mangsa-mangsa banjir ke tempat yang selamat,”  katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2022

- Advertisement -