
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini tampil lagi membantu golongan asnaf dalam menjana pendapatan, kali ini melalui program tanaman cendawan.
Ahli Lembaga Pengarah MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, usaha yang dilaksanakan oleh pihak MAIWP bersama Yayasan Al-Hikmah sebagai pemantau itu adalah untuk mengetengahkan kepada orang ramai dan masyarakat di luar sana bahawa agensi berkenaan sangat komited dalam membangunkan ekonomi golongan asnaf yang menetap di Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, MAIWP telah memperluaskan program ‘urban farming’ dengan menyediakan laman atau tapak tanaman cendawan kepada 15 asnaf terpilih bagi menggalakkan mereka bercucuk tanam dan menjana pendapatan melalui bisnes cendawan.
Abdul Aziz berkata demikian ketika merasmikan pelancaran program Laman Cendawan MAIWP di Laman Cendawan Asnaf MAIWP, Desa Tun Razak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, program tersebut sangat bermakna kerana MAIWP bukan sahaja bertindak sebagai agensi pengurusan zakat, malah agensi ini berusaha membasmi kemiskinan dalam kalangan umat Islam dan secara tidak langsung membantu mereka keluar dari kancah kemiskinan.

“MAIWP telah berjaya mengagihkan kutipan sebanyak RM719 juta agihan zakat secara keseluruhan menerusi skim bantuan zakat secara langsung dan tidak langsung menerusi prasarana umat Islam,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa MAIWP turut memperuntukkan dana zakat bagi pelaksanaan keseluruhan program Laman Cendawan Asnaf MAIWP sebanyak RM547,500.
Yayasan Al-Hikmah telah diberi tanggungjawab memantau program tersebut selama satu tahun bagi memastikan peserta yang terlibat diberikan latihan dan tunjuk ajar berkaitan kaedah penanaman cendawan, penjagaan rumah cendawan dan bongkah, pemasaran serta pengurusan kewangan.
Menerusi Laman Cendawan Asnaf MAIWP, setiap peserta yang terlibat akan diberikan sebuah rumah cendawan yang berukuran 15 kaki x 20 kaki persegi yang boleh menempatkan lima ribu bongkah cendawan beserta kelengkapannya.

“Insya-Allah, MAIWP menjangkakan peserta yang terlibat ini akan mendapat pulangan bersih sehingga RM3,500 sebulan atau lebih.
“Di sini, saya mengambil kesempatan untuk memberikan penegasan kepada kesemua peserta agar bersifat itqan dalam melunaskan tanggungjawab terhadap peluang yang telah diberikan MAIWP ini.
“Itqan dalam erti kata mudahnya bermaksud tekun dan bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan yang diberikan,” jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi PPZ-MAIWP.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Ahli Lembaga MAIWP, Tuan Haji Zainal Abidin Shaikh Zakaria; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya; Pengerusi Yayasan Al-Hikmah, Mohammad Suhaimi; serta wakil-wakil daripada Yayasan Al-Hikmah dan persatuan penduduk PPR Desa Tun Razak.
Abdul Aziz yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, melalui Pelan Strategik MAIWP 2020 hingga 2025, MAIWP menyasarkan untuk meluaskan lagi program ‘Urban Farming’ bagi menggalakkan asnaf bercucuk tanam dan menjana pendapatan melalui pertanian.
“MAIWP telah membantu 250 orang asnaf melalui program seperti ini. Antara program ‘urban farming’ yang telah berjaya dilaksanakan termasuklah projek tanaman cili, terung, dan tanaman hidroponik.
“Ini adalah usaha MAIWP dalam menyokong usaha Kemeterian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam memperkukuhkan sekuriti makanan negara,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada peserta yang terlibat kerana bangkit untuk mengeluarkan diri daripada kepompong bantuan dan penerima bantuan asnaf semata-mata.
Sehingga kini, seramai 62 orang usahawan asnaf yang dikelolakan di bawah agensi MAIWP telah berjaya menunaikan zakat.
Menurut Abdul Aziz, pada tahun 2023 MAIWP memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion untuk agihan zakat serta pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf.
Menjelang 2023, ujar beliau, MAIWP berterusan akan memperkasakan secara holistik bidang pertanian dan penternakan seiring dengan masalah krisis makanan global yang dijangka mula memberikan impak kepada masyarakat di Malaysia menjelang tahun tersebut, dengan kenaikan harga barangan keperluan asas terutamanya dalam sektor makanan.
“Saya berharap semoga usaha yang dilakukan oleh MAIWP ini akan membuahkan hasil dan memberikan inspirasi kepada golongan asnaf yang lain untuk berubah dan memajukan diri masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!