PAS ucap takziah mangsa tanah runtuh di Batang Kali

Foto daripada Facebook Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS turut berdukacita dengan kejadian bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali awal pagi tadi yang melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan.

- Advertisement -

Justeru, Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap pihak berkuasa akan dapat menguruskan insiden dengan sebaiknya.

Sehubungan itu juga, katanya PAS mengarahkan semua wakil rakyatnya terutama dari Negeri Selangor dan berdekatan supaya dapat memberikan bantuan dan pertolongan yang sewajarnya.

“PAS turut mengarahkan sukarelawan dari Jabatan Amal Malaysia dan NGO Penyelamat Khidmat Malaysia agar segera turun padang memberikan segala bantuan bersama-sama membantu agensi berkaitan di tempat kejadian,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, PAS turut menggesa pihak kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar bertindak tegas dalam mengawal aktiviti rekreasi dan perkhemahan di kawasan yang berisiko di musim banjir ini seperti mana yang sebelum ini amat ditekankan dengan amaran oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia.

“PAS mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua jabatan yang telah bertindak pantas dan cemerlang serta bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja menyelamat di tempat kejadian sejak awal kejadian ini berlaku,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Media awal hari ini melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menganggarkan kira-kira 100 mangsa dikhuatiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh berhampiran Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Dato’ Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.24 pagi.

Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

Sehingga jam 4.40 petang tadi, dilaporkan mayat mangsa ke-17 dan 18 ditemui. – HARAKAHDAILY 16/12/2022

- Advertisement -