PENGENALAN surah
• Surah ke-18.
• Surah Makkiyah.
• Mengandungi 110 ayat.
• Al-Kahfi bermaksud gua.
Menceritakan mengenai kisah Ashabul Kahfi dan Raja Zulkarnain (dua persoalan penduduk Quraisy dijawab dalam surah ini melainkan persoalan mengenai roh yang dijawab dalam surah lain).
Nota
• 100 Kalendar Masihi = 103 Kalendar Hijrah.
• Tahun Masihi dihitung mengikut peredaran matahari. Disebut sebagai Solar Year atau Tahun Syamsiyah. Kiraan hari bermula pada pukul 12:01 malam.
Tahun Hijrah pula dihitung mengikut peredaran bulan. Disebut sebagai Lunar Year atau Tahun Qamariah. Kiraan hari bermula pada waktu malam iaitu setelah terbenam matahari atau waktu Maghrib. Oleh sebab itu, sebelum mulanya berpuasa, anak bulan yang sudah kelihatan pada waktu malam itu menatijahkan solat sunat Terawih sudah boleh dilaksanakan dan ia menandakan bahawa malam itu adalah malam pertama bulan Ramadan. Apabila tiba pula hari raya, Terawih sudah tidak dilaksanakan pada malam itu (yang disebut sebagai malam raya).
Sebutan insya-Allah jangan tinggal
Nabi Muhammad S.A.W berdakwah di Makkah untuk mengajak orang kepada Islam dan menerima agama tauhid. Penduduk Makkah tidak berpuas hati dengannya. Mereka bertemu dengan orang Yahudi dan mengadu mengenai tingkah laku Baginda yang mengkritik berhala.
Orang Yahudi memberitahu tips di mana beberapa persoalan perlu diajukan untuk membuktikan sama ada Muhammad itu ialah Nabi atau bukan, iaitu:
1. Kisah pemuda yang lari menyembunyikan diri di dalam gua.
2. Kisah seorang raja yang hebat menguasai Timur dan Barat.
3. Mengenai roh [1].
Penduduk Quraisy mengajukan persoalan-persoalan tersebut kepada Baginda. Lalu, Baginda meminta tempoh tiga hari namun Baginda terlupa untuk menyebut ‘insya-Allah’. Selepas itu, Baginda termenung dan tidak dapat menjawabnya kerana wahyu tidak turun. Keadaan tersebut berterusan selama seminggu. Kemudian, Jibril turun dan Allah menegurnya agar tidak mengatakan sesuatu melainkan menyebut ‘insya-Allah’. Justeru, janganlah kita berjanji tanpa disekalikan dengan ‘insya-Allah’.
Nak terselamat daripada Dajal? Fahamilah surah al-Kahfi
Dari Abu Sa’id Al-Khudri R.A yang bermaksud:
“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.”
(Hadis Riwayat Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata Hadis ini paling kuat mengenai surah Al-Kahfi)
Di dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajal.”
(Hadis Riwayat Muslim: 1342)
Fitnah Dajal adalah antara fitnah akhir zaman. Dikatakan ia bermata satu, berbadan besar dan ditulis ‘kafir’ antara kedua matanya di atas dahinya [2]. Ia membawa habuan dunia di atas bahunya. Ia menawarkan dunia kepada manusia. Ada yang berpandangan bahawa Dajal bukanlah berupa lembaga namun mata satu itu ibarat melihat kepada dunia sahaja. Orang yang mengejar dunia dan meninggalkan agama akan terikut dengan ajaran Dajal.
Sama juga seperti apabila disebut mengenai Lailatul Qadar, ia bukanlah berupa makhluk seperti yang dimomokkan oleh orang-orang tua terdahulu. Namun, ia merupakan suatu saat berlaku keberkatan kepada manusia. Oleh sebab itu, kita digalakkan agar berusaha menunaikan solat berjemaah dan terawih pada 10 malam terakhir Ramadan. Jika malam itu adalah malam Lailatul Qadar, insya-Allah kita akan memperoleh pahala.
Menurut sebahagian ulamak, Dajal adalah suatu ideologi atau kepercayaan terhadap kehidupan dunia seperti yang disebut pada hari ini iaitu sekularisme atau materialisme. Sekularisme ialah melibatkan hal dunia sahaja. Sebagai contoh, Islam di dalam masjid sahaja. Di luar masjid boleh berbuat sesuka hati. Solat tetapi tetap melakukan maksiat.
Materialisme pula ialah hidup semata-mata mencari benda dan tidak peduli akan akhirat. Sebagai contoh, berniaga di pasar malam sehingga tidak menunaikan solat Asar, Maghrib dan Isyak. Ada yang melakukan solat jamak bagi ketiga-tiga solat tersebut. Keluar rumah pada waktu Maghrib bersama dengan anak dan isteri pergi ke pasar malam dan tidak pula menutup aurat. Budaya sebegini yang boleh menyebabkan kita terpedaya dengan fitnah Dajal. Sebab Dajal akan menawarkan benda-benda yang kita mahukan. Asalkan mengikutinya, kita akan mendapat apa sahaja tetapi jika mengikuti agama, kita tidak akan mendapat apa-apa.
Satu riwayat lain menyebut bahawa apabila membaca bahagian akhir surah ini, insya-Allah kita akan dilindungi daripada fitnah Dajal [3]. Pengajarannya yang lebih penting. Adalah lebih baik jika baca, faham dan amal surah ini berbanding hanya baca untuk terselamat daripada fitnah Dajal. Seperti Surah Yasin yang hanya dibaca dan dihafal oleh segelintir masyarakat tanpa memahaminya menyebabkan kehidupan harian begitu banyak bercanggah dengan agama dan merekalah yang paling kuat melawan kerja-kerja agama.
Tepatilah sunnah Rasulullah: Penekanan untuk membaca surah-surah tertentu
Amalan masyarakat yang membaca Surah Yasin pada malam Jumaat adalah bagus, cuma adalah lebih baik jika ditambahbaik dengan membaca surah al-Kahfi kerana surah inilah yang dituntut oleh Rasulullah untuk kita amalkan. Antara surah yang Nabi tekankan supaya jangan sesekali kita tinggal iaitu Surah Yasin, Surah al-Kahfi, Surah al-Mulk dan Surah al-Waqi’ah.
Surah Yasin disuruh oleh Nabi untuk dibaca pada bila-bila masa [4]. Bacalah surah al-Kahfi agar menepati sunnah Rasulullah. Juga yang selalu diamalkan adalah membaca surah al-Mulk pada setiap malam. Surah al-Mulk boleh dibaca pada mana-mana waktu malam seperti selepas Maghrib, selepas Isyak dan sebelum tidur. Surah ini dapat melindungi kita daripada azab kubur atau paling kurang dapat meringankan azab [5].
Surah lain yang dituntut ialah surah al-Waqi’ah, walaupun Hadis tersebut tidak kuat, namun Sahabat tetap beramal dengannya. Sesiapa yang membacanya pada setiap malam, dia tidak akan menjadi papa kedana sampai bila-bila [6]. Surah ad-Dukhan juga disarankan untuk kita membacanya pada setiap hari. Jika dibacanya pada setiap waktu malam, sebanyak 70,000 malaikat mendoakan agar kita diberikan keampunan [7].
Kisah penting yang penuh pengajaran
Ada empat peristiwa yang diceritakan dalam surah ini iaitu mengenai Ashabul Kahfi, pemilik dua taman, kisah antara Nabi Musa dan Nabi Khidir, dan Nabi Zulkarnain.
i. Ashabul Kahfi – Kumpulan pemuda yang beriman kepada ajaran Nabi Isa, menyelamatkan diri daripada kezaliman raja yang tidak beriman, bersembunyi di dalam sebuah gua, ditidurkan oleh Allah selama 300 tahun (mengikut kiraan kalendar Syamsiah yang bersamaan dengan 309 tahun mengikut kiraan kalendar Qamariah) dan dihidupkan kembali.
ii. Pemilik dua taman – dua orang Sahabat yang memiliki kebun; seorang beriman manakala seorang lagi tidak.
iii. Nabi Khidir dan Nabi Musa.
Nabi Khidir ialah salah seorang Nabi yang tidak diketahui tempat tinggalnya dan selalu bergerak. Sesetengahnya berpendapat bahawa umurnya panjang sehingga ratusan tahun. Gelaran al-Khidir diberikan adalah kerana apabila Baginda duduk di suatu tempat, pokok akan menumbuh dan di sekelilingnya menjadi hijau.
Nabi Musa boleh bercakap dengan Allah secara langsung tanpa melalui perantaraan Jibril. Baginda merasakan dirinya sudah mempunyai banyak ilmu. Pada suatu hari, Baginda ditanya:
“Apakah ada orang yang lebih alim daripada kamu?”
Kata Musa: “Tiada”
Lalu Allah menegur Nabi Musa dan memberitahu: “Bahkan, ada lagi orang yang lebih alim daripadamu, hamba Ku Khidir.” [8]
Baginda meminta untuk bertemu dengan orang itu. Baginda disuruh pergi dan membawa sebekas ikan. Jika ikan melompat keluar di suatu tempat, maka di situlah tempatnya Baginda akan menemukan Nabi Khidir. Lalu, mereka bertemu. Nabi Khidir menjawab,
“Ilmu yang ada padamu tiada padaku dan ilmu yang ada padaku tiada padamu.”
Ada riwayat yang berpendapat bahawa Nabi Musa diajar mengenai ilmu zahir manakala Nabi Khidir pula diajar mengenai ilmu yang bersifat rohani atau istilahnya Ladunni.
iv. Raja Zulkarnain ialah seorang tokoh yang hebat dalam sejarah menguasai negara di sebelah Timur dan Barat. Bahkan namanya itu bermaksud orang yang memiliki dua tanduk. Menurut ulamak, tanduk itu ibarat negara di bawah kekuasaannya. Siapakah Baginda yang sebenar tidak dapat dikenalpasti walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa orang itu ialah Alexander The Great. Namun, Alexander merupakan seorang yang tidak beriman dan mempercayai dewa.
Beramal, jangan sampai tertinggal yang lebih utama
Terdapat dua syarat untuk memasuki syurga iaitu:
i. Beriman.
Iman haruslah yang betul dan jelas serta tiada sebarang keraguan dalamnya.
Nabi kita pernah berdoa dan dalam salah satu doanya [9] Baginda menyebut, ‘imaanan’ sodiqo’ iaitu iman yang betul dan ‘wayakinan’ laisa ba’dahu kufrun’ iaitu keyakinan yang tidak ada sebarang kekufuran dalamnya. Iman yang menyebabkan kita sanggup menghadapi segala cabaran, ujian dan godaan kerana pegangan yang teguh. Apabila kita ditawarkan macam-macam seperti pangkat, harta dan wanita, kita tidak meninggalkan agama.
ii. Beramal soleh.
Amal mestilah amalan yang soleh iaitu menepati ajaran Nabi dan Rasul. Sesetengah ulamak menyebut amal itu hendaklah amal yang kena pada masanya. Contoh amalan yang tidak dikira sebagai amal soleh walaupun perbuatannya adalah bagus, antaranya;
a. Solat berjemaah di atas jalan raya.
b. Membaca al-Quran dengan suara yang kuat sehingga mengganggu aktiviti kuliah di masjid
c. berpeluk dan bercium dengan isteri di kedai makan.
Antara situasi lain yang juga harus kita perhatikan:
a. Ada orang lemas ketika kita menunaikan solat di tepi sungai, Kita wajib berhenti solat dan menolong orang itu.
b. Makan dahulu sebelum solat Isyak berjemaah jika merasa terlalu lapar.
c. Sibuk melilit serban sehingga terlepas satu rakaat bersama Imam. Yang lebih afdhal ketika solat berjemaah adalah sempat takbir yang pertama bersama Imam.
d. Qadha solat ketika solat Terawih adalah tidak sepatutnya dilakukan. Qadhalah pada lain waktu selain bulan Ramadan agar kita dapat menunaikan solat Terawih yang hanya sekali setahun. Takut-takut solat yang diqadha tidak diterima oleh Allah malah terlepas pula pahala solat Terawih berjemaah.
Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 12 Disember 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 15/12/2022
Rujukan:
[1] Kisah ini disebut oleh Ibnu Ishaq dalm al-Siyar wa al-Maghazi (m/s 201), dan Imam al-Baihaqi dalam Dalailu al-Nubuwwah (2/269).
[2] Diriwayatkan oleh Imam Bukhari (7131), dan Muslim (2933).
[3] Hadis Riwayat Imam Muslim (809).
[4] Hadis Riwayat al-Darimi, Abu Ya’ala, dan Imam Al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman.
[5] Hadis riwayat Imam at-Tirmizi (2891), dan beliau berkata Hadis ini Hasan.
[6] Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Fadhailu as-Sahabah (2/726), dan Imam Al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman (4/119).
[7] Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi (2888), dan beliau berkata Hadis ini Gharib.
[8] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (74).
[9] Doa ini ada diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi (3419) dan beliau berkata Hadis ini gharib.