Cuaca cerah, mangsa banjir di Kelantan lebih 2,000

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keadaan cuaca cerah di kebanyakan tempat di Kelantan pada hari ini, namun masih terdapat seramai 2,006 mangsa banjir sehingga petang Jumaat yang masih berada di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

- Advertisement -

Kumpulan mangsa banjir terbabit adalah daripada sejumlah 632 keluarga yang telah ditempatkan di tujuh PPS di Rantau Panjang.

Banjir kali ini mulai melanda Kelantan 10 Disember lalu selepas hujan lebat bermula Jumaat minggu lepas.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh Rantau Panjang yang merupakan PPS terawal dibuka di jajahan Pasir Mas sehingga sekarang menempatkan seramai 712 mangsa banjir.

Selain itu, PPS SK Gual Periok Rantau Panjang seramai 544 orang, SK Kubang Kual (256), SK Gual Periok (544), Masjid Padang Licin (69), SK Sri Kiambang (234) dan SK Kedai Tanjung (40).

Keseluruhan mangsa banjir di Malaysia sehingga sekarang 2,305 yang membabitkan 710 keluarga ditempatkan di 16 PPS termasuk Kelantan, Perak, Pahang, Johor dan Terengganu.

Sementara itu semalam Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau lokasi banjir di Rantau Panjang. Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. – HARAKAHDAILY 16/12/2022

- Advertisement -