Retorik politik hipokrit dan toksik Lim Kit Siang

BN hanya menang satu kerusi, Anwar PM minoriti 37 peratus

- Advertisement -

VETERAN DAP, Lim Kit Siang dalam tulisan-tulisan beliau sejak hujung November lalu nampaknya begitu bimbang dengan perkembangan politik mutakhir ini. Terutama keputusan PRU15 di mana beliau terlihat begitu menyerlahkan rasa terancam walaupun kini pihaknya sudahpun menjadi kerajaan.

- Advertisement -

Gugup, gopoh dan gelisahnya Kit Siang, hingga membuat perhitungan simplistik dan naif untuk meremehkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di beberapa Parlimen. Beliau seakan sangat tertekan dan terdesak apabila menggabungkan jumlah undi diperolehi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Kit Siang menyenaraikan PN akan tewas Johor iaitu di kerusi P.143 Pagoh dan di P.154 Mersing, di P.136 Tangga Batu dan P.139 Jasin (Melaka), di P.166 Labuan dan P.125 Putrajaya (Wilayah Persekutuan), serta P.041 Kepala Batas, P.042 Tasek Gelugor dan P.044 Permatang Pauh (Pulau Pinang).

Menggabungkan jumlah undi PH dan BN untuk menyatakan PN akan tewas adalah hujah sangat dangkal bagi beliau yang sudah lebih 55 tahun dalam politik. Ia sama seperti ejekan para lasykar siber PH-BN kononnya PN kemaruk mahukan gabungan jumlah kerusi parti lain supaya diumum pemenang.

Kit Siang mungkin menutup hakikat betapa PH-BN akan tewas lebih banyak kerusi jika sejak awal mengisytiharkan penggabungan. Sebaliknya, PN akan menang 101 kerusi, PH hanya 74 kerusi dan BN cuma satu iaitu di P.151 Simpang Renggam. Satu kerusi, P.153 Sembrong pula berada pada situasi 50-50 antara BN dan PN.

PN muktamad akan mengatasi BN di kerusi-kerusi berikut iaitu P.055 Lenggong dan P.072 Tapah (Perak), P.079 Lipis, P.084 Paya Besar, P.085 Pekan dan P.090 Bera (Pahang), P.119 Setiawangsa (Wilayah Persekutuan), serta P.126 Jelebu, P.127 Jempol, P.129 Kuala Pilah dan P.131 Rembau (Negeri Sembilan).

Juga di Johor melibatkan kerusi P.147 Parit Sulong, P.148 Ayer Hitam, P.155 Tenggara, P.156 Kota Tinggi, P.157 Pengerang, P.164 Pontian dan P.165 Tanjung Piai. Manakala kerusi yang kini dimenangi BN iaitu P.133 Tampin (Negeri Sembilan) dan P.075 Bagan Datuk (Perak) serta P.078 Cameron Highlands (Pahang) sepatutnya jatuh ke tangan PH.

Begitu juga PH akan turut tewas kepada PN di kerusi P.015 Sungai Petani (Kedah), P.053 Balik Pulau (Pulau Pinang), P.063 Tambun dan P.077 Tanjong Malim (Perak), P.080 Raub (Pahang), P.096 Kuala Selangor dan P.113 Sepang (Selangor), serta P.141 Sekijang dan P.146 Muar (Johor).

Keputusan akan terhasil sedemikian atas faktor ‘Gelombang Hijau’ yang begitu menghantui dan digeruni oleh Kit Siang. Malah, ia sudah tentu melakar sejarah berlainan dari yang sedang disaksikan rakyat pada medan politik negara dan carta pentadbiran Kerajaan Malaysia pada ketika ini.

Meludah ke langit

Kit Siang dalam tulisannya juga mahu ‘Gelombang Hijau’ PRU15 dihentikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan menangani politik toksik iaitu penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan. Beliau mahukan kerajaan ini bersih, jujur, tidak korup, dan menghentikan kemunduran negara sejak enam dekad lepas.

Ia suatu retorik yang cukup melucukan dan memualkan kerana seluruh dunia menyaksikan kerajaan PH-BN hakikatnya digabungkan dari penipuan. Sementara syak wasangka, kebencian, perkauman dan agama melampau adalah toksik yang dikumbah dari parti pernah dipimpin Kit Siang sendiri iaitu DAP.

Paling membingungkan, namun mengundang ketawa adalah seruan Kit Siang untuk menghentikan kemunduran negara sejak 60 tahun lalu. Entah pembangunan dan kemajuan setara mana diangankan beliau tanpa meletakkan pembaris untuk menjadi kayu ukur kepada kekesalan dilontarkannya itu.

Kit Siang malah sebelum PRU14 dahulu membawa propaganda untuk Malaysia diselamatkan dari politik kleptokrasi yang menyebabkan ia menjadi negara gagal. Beliau mengajak rakyat menolak penyangak dalam kerajaan iaitu pencuri, perompak dan penyamun atau 3P.

Label tersebut tidak hanya dibawa beliau dalam siri ceramah atau jelajah politik seluruh Malaysia dan dunia, malah turut menjadi soalannya di Dewan Rakyat. Beliau mengaku bersikap patriotik untuk membersih dan memulihkan Malaysia dari stigma buruk tersebut.

Beliau cukup percaya ‘tsunami politik’ tahun 2008 untuk rakyat menyingkirkan Kerajaan Persekutuan BN di Putrajaya sebagai impian yang tidak mustahil. Katanya, impian itu boleh dicapai jika sistem pilihan raya benar-benar adil dan demokratik, pembangkang sudah menggantikan BN sejak PRU13.

“Malangnya, walaupun (Dato’ Sri Mohd) Najib (Tun Abdul Razak) hanya mendapat 47 peratus undi, beliau mampu memenangi 60 peratus kerusi Parlimen dan kekal sebagai Perdana Menteri.

“(Najib) Menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama dengan sokongan minoriti,” ujar Kit Siang dalam ucapan pada Seminar Perdana di Pusat Konvensyen Nilai, Nilai, Negeri Sembilan, 8 Mac 2017.

Nah! Kini semua dikecamnya itu dahulu tidak ubah umpama meludah ke langit! Para kleptokrat dan penyangak – pencuri, perompak dan penyamun tersebut sedang bersama, didukung dan sudah ‘dibersihkan dan dipulihkan’ oleh beliau barangkali, di mana mereka itu bahkan membarisi Kabinet Kerajaan.

Begitu juga keyakinannya kepada ‘tsunami politik’ rakyat tahun 2008, tetapi enggan menerima ‘Gelombang Hijau’ 2022 yang dilihat begitu menghantui beliau. Tidakkah pula beliau melihat malang apabila Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun mendapat undi minoriti?

Anwar hanya mengumpulkan 5,796,518 undi dari calon-calon PKR, DAP, PAN dan MUDA atau 37.49 peratus daripada 15,461,309 jumlah keseluruhan undi sah kepada 945 calon pada PRU15 baru-baru ini. Iaitu jauh lebih sedikit daripada peratus diperolehi Najib pada PRU13 dahulu.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 15/12/2022

- Advertisement -