KOTA BHARU: Pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi melibatkan 23 jabatan di bawah keraKaan negeri yang merangkumi 11 pejabat tanah dan jajahan serta 12 pihak berkuasa tempatan dijangka selesai akhir tahun ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad berkata, pelan strategi antirasuah itu bertujuan mempertingkatkan integriti dan tadbir urus organisasi selaras Pelan Antirasuah Nasional.
Menurutnya, pelan strategi itu memastikan setiap organisasi mempunyai pelan antirasuah tersendiri untuk menangani permasalahan governans, integriti serta penanda aras organisasi dalam memerangi rasuah.
Menurut beliau, kerajaan Kelantan tegas dan komited dalam memerangi ancaman rasuah bagi memastikan mereka sentiasa amanah dalam menjalankan tanggungjawab.
“Saya yakin Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang melibatkan 23 jabatan negeri akan menjadi mekanisme terbaik untuk menilai dan mengawal budaya integriti di pelbagai peringkat,” katanya pada sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Tambah beliau, dalam suasana cabaran teknologi maklumat masa kini, pelbagai cabaran yang menggugat nilai integriti khususnya aspek ketirisan maklumat dan sebagainya sering berlaku.
“Setiap penjawat awam perlu berhati-hati dengan budaya sebar tanpa periksa khususnya berkaitan maklumat kerajaan yang boleh mengundang pelbagai keresahan awam,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2022