20 pelajar Pondok Pasentren terbunuh akibat gempa di Cianjur

PASRelief kini berada di Indonesia dalam Misi Kemanusiaan Gempa Bumi Cianjur.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 20 pelajar Pondok Pasentren Tarbiyatussibbyan Al-Badruniyyah, Cianjur meninggal dunia ketika kejadian gempa bumi di Cianjur, Indonesia pada 21 November lalu.  

- Advertisement -

Kira-kira dua juta penduduk di Cianjur pula berdepan dengan kesukaran akibat bencana yang telah mengorbankan 335 nyawa itu. 

Sementara sebanyak 70,000 rumah yang rosak dan hancur dan tidak lagi boleh didiami, selain itu 272 buah masjid ranap dan perlu dibina semula. 

Jurucakap PASRelief Hidayah Rasidi berkata, kawasan gempa di Cianjur melibatkan banyak kampung yang terjejas di Cibulakan antaranya, Kampung Kuba. 

Selain itu Desa Ciherang, Desa Ciputri, Cibeureum, Nyalindung, Mangunkerta, Sarampad, Benjot dan Cibulakan.

“Kayu-kayan, batu-bata dan rumah-rumah yang runtuh dan hancur perlu dibersihkan untuk pembinaan semula rumah baru. 

“Keadaan jalan yang sempit untuk satu kenderaan sehala lalu menyebabkan kesukaran jentolak untuk sampai ke rumah yang runtuh,” katanya dalam kenyataan di laman sosial PASRelief.  

Kira-kira 70,000 rumah penduduk di Cianjur musnah dan tidak lagi boleh didiami akibat kejadian gempa bumi baru-baru ini.

Misi Kemanusiaan Gempa Bumi Cianjur PASRelief disertai 10 anggota diketuai pengarahnya, Yusni Mat Piah bertolak ke Indonesia dua hari lepas bagi menyertai misi kemanusiaan. 

Yusni berkata, PASRelief mendapat kerjasama NGO Warga Cakna bagi meninjau dan menghantar bantuan kepada mangsa terlibat. 

“PASRelief terpanggil untuk sama-sama membantu mereka yang kini berada dalam kemudaratan yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak,” ujarnya. 

Menurutnya juga, kedudukan rumah yang terletak terlalu dekat juga menyukarkan operasi pemulihan rumah-rumah yang terjejas. 

Tambah beliau, penduduk terpaksa menggunakan troli untuk mengangkat kayu-kayu, batu-batu, dan sehubungan itu penduduk sangat memerlukan bantuan terutama untuk membina kediaman untuk tempat tinggal mereka.

“Oleh itu, PASRelief merayu sumbangan kewangan daripada orang ramai bagi membantu mangsa gempa bumi terbabit. Sumbangan boleh disalur melalui Maybank – 5640 7061 2333 atas nama PASRelief,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2022

- Advertisement -