Temerloh lokasi cawangan hijau pertama Bank Islam

- Advertisement -

TEMERLOH: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini, merasmikan pembukaan cawangan bank berteraskan konsep mesra alam sekitar pertamanya di negara ini, yang terletak di Temerloh, sebagai usaha menerapkan amalan lestari dalam operasi perniagaan mereka.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata mereka kini menyasarkan pelaksanaan bank mesra alam di lima lagi cawangan pada tahun hadapan.

“Cawangan hijau pertama Bank Islam ini menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga bersih yang boleh diperbaharui dengan pemasangan panel sistem solar di atas bumbung.

“Selain itu, ia juga menggunakan sistem penuaian air hujan untuk mengumpul dan menggunakan semula sumber semula jadi itu bagi menggalakkan penggunaan air secara efisien,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan hijau Bank Islam di Damai Court di sini.

Bank itu merupakan cawangan ke-20 Bank Islam daripada 135 cawangan di seluruh negara.

Lokasi asal cawangan Bank Islam Temerloh sejak 34 tahun lalu adalah di Jalan Datuk Bahaman 3 sebelum berpindah ke Jalan Tengku Ismail pada 2011.

Mohamed Iran Moriff berkata ia turut dilengkapi dengan lampu cekap tenaga yang digabungkan dengan sistem pengesanan cahaya dan pergerakan berfungsi secara automatik.

“Kita membelanjakan kos tambahan bagi pemasangan panel sebanyak RM50,000 bagi cawangan ini tetapi untuk jangka masa panjang, ia dijangka dapat menjimatkan tenaga antara 20 ke 30 peratus.

“Namun, apa yang paling penting ialah komitmen Bank Islam terhadap aspek kelestarian dan nilai-nilai di bawah konsep pengurusan alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam keseluruhan operasi perniagaan,” katanya. – BERNAMA

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!