RANTAU PANJANG: Penduduk Kampung Tersang bimbang rumah mereka akan rosak memandangkan banjir sering menenggelamkan kediaman sejak kebelakangan ini.
Malah ada penduduk membina rumah bertiang tinggi untuk mengelakkan ditenggelami banjir yang sering berlaku sekarang.
Seorang penduduk, Aminah Ismail, 67, berkata terdapat beberapa penduduk membaiki rumah mereka dengan meninggikan lagi struktur rumah.
Menurutnya, kebanyakan penduduk di sini bimbang sekiranya berulang tragedi yang menghanyutkan enam rumah penduduk ketika banjir pada Februari lalu.
Katanya, rata-rata penduduk bimbang kerana kebanyakan rumah yang dibina daripada kayu akan mudah reput jika tenggelam dalam tempoh yang lama.
“Walaupun penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika banjir, kami bimbang kediaman hanyut dibawa arus deras banjir.
“Sekarang makcik agak lega sedikit memandangkan telah menambah baik sedikit struktur rumah yang dibina menggunakan simen baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya juga sejak benteng banjir dibina, paras air banjir naik lebih tinggi tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.
Katanya, air banjir sekarang begitu dalam sehingga hampir menenggelamkan kediaman rumah.
“Kami terkesan dengan keadaan banjir dan berharap kerajaan dan pihak bertanggungjawab segera menyiapkan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Projek tebatan banjir di Kelantan membabitkan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa Dua dan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa Tiga.
PLSB fasa dua merangkumi pembinaan struktur pemecah ombak di Kuala Besar bagi aliran banjir di Sungai Kelantan. – HARAKAHDAILY 14/12/2022