Impian Messi menjulang Piala Dunia kembali hidup

Final hujung minggu ini adalah peluang terakhir Messi memenangi Piala Dunia
- Advertisement -

Lionel Messi mendapat peluang terakhir untuk merasai kegemilangan menjuarai Piala Dunia selepas sepakan penaltinya dan dua gol Julian Alvarez membantu Argentina mengatasi Croatia 3-0 dan mara ke final untuk menentang penyandang juara Perancis atau Maghribi.

- Advertisement -

Ketika semua mata tertumpu pada kapten Argentina, Messi dan usaha kali kelimanya untuk memenangi Piala Dunia, Alvarez yang berusia 22 tahun mencuri perhatian, mendapatkan penalti yang dirembat Messi, sebelum kemudian menjaringkan gol selepas larian sejauh 50 meter.

Messi dengan tenang mengambil sepakan penalti pada minit ke-34, selepas Alvarez dijatuhkan oleh penjaga gol Dominik Livakovic, untuk muncul penjaring terbanyak Argentina di Piala Dunia dengan 11 gol.

Alvarez kemudian melakukan larian solonya untuk menggandakan kelebihan lima minit kemudian. Ini diikuti magik Messi yang membolehkan Alvarev menjaringkan gol keduanya pada minit ke-69.

Messi yang berusia 35 tahun berkata pemain Argentina melalui pengalaman luar biasa sepanjang Piala Dunia Qatar dan kemenangan mengatasi Croatia kerana mereka berazam layak ke final.

“Saya sudah lama menikmati ini, sejak kami tiba di Piala Dunia ini. Kami minta peminat dan penyokong mempercayai kami kerana kami tahu siapa kami. Kami berjaya melakukannya … kami akan bermain satu lagi perlawanan akhir. Sekali lagi, Argentina berada di final Piala Dunia.”

Kali terakhir bermain di final Piala Dunia 2014, Argentina berazam meraih kejuaraan buat kali ketiga selepas 1978 dan 1986, suatu pencapaian yang kelihatan tidak realistik beberapa minggu lalu berikutan kekalahan perlawanan pembukaan peringkat kumpulan kepada Arab Saudi.

Menjuarai Piala Dunia 2022 akan meletakkan pemenang tujuh kali Ballon d’Or tujuh kali meraih status mitos yang dinikmati mendiang Diego Maradona di Argentina.

Ahad ini, Argentina akan berdepan sama ada juara bertahan, Perancis atau skuad penuh kejutan, Maghribi, negara Afrika pertama beraksi di peringkat separuh akhir Piala Dunia.

Naib juara Piala Dunia 2018, Croatia bermula dengan strategi penguasaan bola, namun seperti ketika menentang Brazil pada suku akhir, pemain cemerlang dari segi hantaran, tetapi bergelut untuk mencari jalan memasuki ruang hadapan gawang Argentina.

 Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic, melihat bola sepakan penalti Messi menerjah jaring gawangnya

“Kami mempunyai kawalan yang baik, tetapi tidak spesifik ketika bertindak. Kami cuba bangkit, tetapi mereka melakukan serangan balas dan kami bolos gol kedua. Ketika itu, kami tahu sukar untuk mengejar mereka,” kata jurulatih Croatia, Zlatko Dalic

Argentina yang memenangi setiap perlawanan separuh akhir Piala Dunia, menikmati sokongan padu penyokong mereka yang datang dari jauh, mengatasi penyokong Croatia di Stadium Lusail yang juga akan menjadi gelanggang perlawanan akhir nanti.

Penyokong bersorak dengan gema kuat apabila Alvarez dijatuhkan oleh Livakovic menyebabkan Argentina dianugerah sepakan penalti.

Messi pula menyamai rekod pemain Jerman, Lothar Matthaeus, untuk penampilan terbanyak dalam Piala Dunia, iaitu sebanyak 25 perlawanan, merembat kencang melepasi Livakovic selepas penolong jurulatih Croatia, Mario Mandzukic dibuang padang kerana membantah.

Alvarez, yang digelar ‘labah-labah’, menambah derita Croatia dengan menjaringkan gol kedua.

Berbeza dengan kebangkitan ketika masa tambahan menentang pasukan pilihan ramai, Brazil, tiada jalan kembali kali ini untuk Croatia.

Argentina tidak berminat untuk mensia-siakan kelebihan dua gol seperti yang mereka lakukan ketika menentang Belanda di peringkat suku akhir dan Alvarez mengakhiri sebarang harapan Croatia pada minit ke-69, menjaringkan gol ketiga untuk menamatkan sisa-sisa perjuangan negara Balkan itu.

Ketika pemain Argentina meraikan kemenangan itu dengan meriah bersama penyokong mereka, generasi emas Croatia, diketuai oleh kapten mereka yang berusia 37 tahun, Luka Modric, secara senyap-senyap meninggalkan stadium. – REUTERS

- Advertisement -