Antara banduan mulia dan banduan cepat koyak

- Advertisement -

NABI Yusof tidak pernah menyaman sesiapapun atas dasar beliau digelar banduan, malah merasa bangga kerana Baginda terpelihara dan terselamat dari fitnah disebabkan duduknya Baginda dalam penjara itu. Baginda diampunkan setelah diakui sendiri oleh Zulaikha yang dialah pembuat fitnah terhadap Yusof. Baginda juga memaafkan semua lawannya.

- Advertisement -

Nelson Mandela tidak kisah menceritakan semula kisahnya dipenjara kerana perjuangan menentang dasar aparteid di Afrika Selatan. Malah cerita itulah antara penguat peribadinya sebagai seorang pejuang bangsanya sendiri kerana beliau telah membuktikan kepada semua, yang beliau dipenjara atas alasan pengorbanannya yang murni, bukan kerana jenayah. Beliau tidak menyaman musuhnya untuk sindiran bekas banduan.

Imam Abu Hanifah tidak pernah dipandang atau merasa hina, walaupun pernah dipenjara oleh khalifah kerana keengganan beliau untuk dilantik menjadi khadi. Beliau tetap menepis segala tawaran malah ugutan supaya dia menerima posisi itu. Beliau takut nanti beliau akan disuruh mengeluarkan fatwa yang batil, sesuai dengan kehendak khalifah dan bukannya kehendak Allah. Beliau tidak mempunyai peguam bagi segala urusan membuka fail mahkamah berkenaan saman malu, jika musuhnya menganjing.

Sayyid Qutb mati sebagai seorang banduan kerana ketegarannya berjuang untuk memastikan Islam tertegak dengan penuh kemuliaan di Mesir. Beliau tidak pernah diam dalam berjuang, sehinggakan ketika di dalam sel, beliau berjaya menyiapkan sebuah karya ulung ‘Fil Zilal al-Quran‘. Beliau tidak pernah mempedulikan ejekan-ejekan manusia yang menghinanya kerana menjadi penghuni penjara. Bukan dia sahaja, malah dunia maklum kenapa beliau dipenjarakan.

Begitu juga Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang dikenali sebagai Hamka, seorang ulamak, pejuang di Indonesia. Beliau dipenjarakan oleh Sukarno ketika menjadi Presiden Indonesia. Hamka berjaya menulis tafsir Azhar ketika di dalam penjara. Malu, terhina? Tidak, tidak pernah, malah Hamka sering mengimbau kisah beliau di dalam penjara. Beliau ditangkap dan dihukum atas kesalahan yang beliau tidak lakukan. Sehinggakan Sukarno juga beliau maafkan dan menjadi imam solat jenazah Sukarno.

Beberapa kisah besar ini adalah sejarah yang tidak dapat dinafikan oleh semua orang bahawa perjuangan yang benar, tidak akan disambut di atas permaidani merah, walau siapapun kamu, sama ada Islam atau bukan-Islam. Tiada juga rasa malu kerana dimasukkan ke penjara, disebabkan kesalahan yang dikatakan salah itu, tidaklah salah sebenarnya kerana ia adalah pengorbanan diri bagi sebuah perjuangan mulia.

Bagi pejuang-pejuang tulen sebegini, ketika mereka duduk dalam penjara, mereka akan dihormati dan tidak diganggu oleh banduan lain, tidak manja, menggunakan alasan sakit itu dan ini, merengek, menagih simpati. Mungkin mereka akan dilantik menjadi ketua atau guru oleh banduan lain. Mereka tidak memerlukan lakonan dan penipuan bagi menaikkan ‘rangking’ mereka kerana mereka tidak mengejar dunia. Mereka mencari redha Allah. Sang algojo juga akan bersimpati dan cuba membantu sedaya mungkin banduan terhormat itu.

Tetapi jika banduan itu sememangnya melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh, dia mungkin akan mula merasa panas jika dipanggil bekas banduan. Tambah lagi banyak percubaan mengangkat diri sendiri, menyamakan dengan pejuang lain, tetapi orang tidak percaya. Tentu sahaja, kerana dia memang dikenali dengan perangai yang suka menipu, prinsip berterabur, janji dicapati, semua benda dia sapu asal boleh kuasa, ramai kawan rapatnya dahulu meninggalkannya kerana sikapnya, maka dia akan cepat koyak jika disebut bekas banduan. 

Suka memberi amaran, menyaman orang, guna kuasa yang ada apabila berkuasa, semahunya. Sudah lupa waktu dia susah dahulu orang yang menolong dia. Itulah bezanya pejuang tulen yang begitu teguh dengan prinsip sebelum dan selepas penjara dan memaafkan lawan, berbanding dengan pejuang hipokrit yang cepat koyak dan lupa diri. Nampak tu?

MOHD NASIR ABDULLAH
14 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 14/12/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -