Surat terbuka buat Mohamad Sabu: PAS ni barey sejuk!

- Advertisement -

PRU15 seperti dua kutub saling bertempur dan adu kuasa, gelombang merah Dap dan gelombang hijau PAS yang akhirnya berhujung dengan kejutan dunia akan pencapaian terbaik PAS sejak memasuki pilihan raya 1955 negara ini.

- Advertisement -

Jika pembaca perasan, antara tokoh politik Melayu yang mendapat laba politik daripada kesepakatan undi Cina kepada DAP ialah kawasan Parlimen Kota Raja Selangor. Menang besar dan bergaya Presiden PAN dijulang oleh undi penyokong DAP yang mendominasi PH.

Tak sepicing pun rasa pelik apabila kita melihat ucapan MP Kota Raja mewakili aspirasi dan nuansa perjuangan abang besarnya dalam Pakatan Harapan!

Kelihatan sangat gigih Mad Sabu menyerang PAS sama ada semasa menggalang jawatan Menteri 22 bulan atau pun selepas tersungkur daripada kerusi empuk Pak Menteri dan kali ini makin dasyat menghujat PAS pasca PRU15.

PAS bagi Mad Sabu telah meninggalkan prinsip perjuangan, dalam kempen di Tioman Rompin, beliau mempersoalkan di mana PAS mendapat begitu banyak duit dalam menggerakkan kempen besar pilihan raya.

Abang Mad merasa terkejut, bahkan memetik nama Mad Said, bekas MB Terengganu juga sangat terkejut melihat bahan kempen PAS kali ini. Megah bendera PAS dimana-mana, bersemarak kempen PAS termasuk media sosial. Aku menepuk dahi dan menghela nafas panjang melihat video ucapan Mohamad Sabu yang kini menjadi Menteri dalam kabinet Anwar.

Aku terus menjadi kepelikan apabila meneliti ucapan-ucapan abang Mat di alam siber, seolah bekas pimpinan PAS ini tidak pernah mengenali harakatul ummah ini.

Ironinya, beliau membandingkan kualiti petugas, bahan kempen serta pimpinan PAS hari ini dengan suasana dekad 80an. Dengan sejuta ahli dan dua juta penyokong PAS, apa peliknya untuk PAS bertanding banyak kerusi Parlimen bahkan untuk matlumat abang Mad, kami telah tersasar daripada target!

Kami di peringkat pimpinan Pusat mensasarkan 40 kerusi menang namun Allah pemilik kuasa alam memberikan kepada PAS 49 kerusi kemenangan (termasuk rakan sekutu yang menggunakan lambang PAS). Ohh, Bang Mad jangan lupa, PAS juga meraih undi popular tertinggi di negara ini.

Beginilah Abang Mad, untuk ulangkaji sahabat-sahabat PH-BN bagaimana PAS berduit dan bergaya bila masuk PRU15 dan insya Allah kaedah ini akan kekal dalam organisasi jamaah Islam tertua ini di Malaysia.

Di peringkat cawangan PAS, ahli-ahli menabung dengan pelbagai jenama dan tema kutipan infak. Ada cawangan menamakan program lima kupang sehari, ada yang menamakan infak bulanan dan ada yang menjenamakan infak sebulan untuk jemaah. Biasanya tabung buluh, tin milo atau tabung cantik keluaran kilang berlogo PAS.

Biasa pula setiap enam bulan, tabung ini diusung ke markas atau surau PAS cawangan. Dengan guratan wajah paling ceria dalam euforia gembira maka tabung infak ahli PAS dipecahkan, dengan takbir kegembiraan, bendahari cawangan mencatat jumlah kutipan infak ahli- ahli PAS cawangan.

Selepas solat berjemaah, mereka menjamu selera dengan penuh nikmat dan mereka tak peduli pun abang Mad serta kawan-kawan meninggalkan PAS pada tahun 2015. Ohh, dengan infak lima kupang itulah PAS Kedah membina kompleks di Kota Sarang Semut bernilai 22 juta!

Kaedah lain pengumpulan dana pilihan raya PAS ialah melalui potongan elaun penjawat jawatan legislatif, elaun staf lantikan politik dan sumbangan khas PRU.

Bagi Ahli Parlimen PAS, contohnya di Terengganu maka sebanyak 25 peratus dipotong gajinya oleh Badan Perhubungan PAS Terengganu. ADUN PAS dipotong 20 peratus gaji malah pernah berlaku ADUN PAS tidak mengambil elaun semasa menjadi ADUN!

Tak terhenti potongan kepada YB-YB PAS, pegawai lantikan politik juga dipotong antara lima sehingga sepuluh peratus. Setiausaha Akhbar, Setiausaha Politik, Pegawai khas, Penyelaras Parlimen dan DUN serta pelbagai jawatan lantikan ad hoc politik memotong elaun bulanan mereka kepada perjuangan.

Ohh, sebelum Abang Mad lupa, alatan pilihan raya kami seperti kayu-kayu, bendera bulan purnama disimpan oleh petugas kami. Para muslimah yang tenang, membasuh dan melipat semula bendera parti yang kami cintai sepenuh hati.

Ahli PAS bukan sekadar rakyat jembel di desa-desa, namun majoritinya adalah kelompok kelas menengah Melayu, begitu juga dengan kualiti kepimpinan PAS.

Ribuan profesional, teknokrat dan yang berdoktorat menggalang jamaah ini termasuk yang bekerja di puluhan negara lain. Mereka menyumbang dan berbahagi rezeki dengan jamaah yang dikasihi.

Abang Mad bernasib baik menjadi pimpinan PAS semasa PAS diminati oleh rakyat jembel di kawasan perdesaan, tiada ahli menganalisa ucapan Abang Mad. Namun kini, segalanya telah berubah dengan pantas, termasuk yang pencen JUSA A dan JUSA C!

Cinta kenangan silam Abang Mad jangan diusir jauh! Ingat memori ini, PAS telah meletakkan Abang Mat sebagai calon Parlimen Nilam Puri pada tahun 1990, ahli-ahli PAS bekerja keras bagi memastikan kemenanganmu.

Jangan lupa, banyak mana tabung buluh dan tin milo ahli-ahli PAS dipecahkan untuk membiayai kempen abang Mat, abang Mat tak perlu bergadai tanah untuk menduduki posisi anggota legislatif. Menikmati elaun dan pencen MP. Lebai-lebai PAS yang dikutuk abang Mat itulah yang mendoakan kemenangan Abang Mat siang dan malam tiga dasawarsa yang lalu.

Obsesi Abang Mat dan kawan-kawan Abang Mat dalam PH-BN terhadap kuasa dan Putrajaya sangat luarbiasa! Tiada istilah menjaga prinsip Amal Islami, janji dapat memeluk mimpi menawan Putrajaya.

Terlalu sibuk Abang Mat dalam kempen di Tioman baru ini bertanyakan di mana PAS memperolehi wang untuk membiayai kempen PRU15. Singkat benar ingatan Abang Mat dan teman-teman yang meninggalkan PAS akibat tewas dalam pemilihan Muktamar ke-61 dahulu.

Cuba Abang Mat bertanyakan kembali Salahudin Ayub akan kisah penoreh getah yang mengasingkan pendapatan keluarga dan infak untuk PAS setiap hari demi melihat kelangsungan perjuangan PAS.

Sejujurnya kami tak berminat untuk berbalah, memandangkan intriq dan polemik kerana kami sangat sibuk membina organisasi. Kami tak biarkan cawangan kami mati atau ahli kami tanpa pengisian rohani. Cuma kami mohon hentikan kebencian melampau Abang Mad kepada PAS, kepada Tuan Guru, kepada amilin PAS. Fokus kepada portfolio dan tugasan Abang Mad di Kementerian Pertanian, ehh telor mana telor?

Teringat Samer di Kelantan…..”Barey sejuk ni… barey sejuk!”

DR RIDUAN MOHAMAD NOR, penulis ialah AJK PAS PUSAT dan Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 13/12/2022

- Advertisement -