Kerajaan Pahang amal politik balas dendam

- Advertisement -

SAYA melahirkan rasa sedih dan kecewa yang teramat sangat atas kezaliman dan ketidakadilan Kerajaan PH-BN Negeri Pahang yang telah mengarahkan pembatalan penggunaan Dewan Tun Razak Temerloh bagi tujuan Jamuan Kesyukuran Parlimen Temerloh kurang daripada 24 jam daripada masa dan tarikh program akan berlangsung tanpa sebarang penjelasan yang munasabah.

- Advertisement -

Saya secara peribadi ingin melahirkan penghargaan kepada pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang telah memberikan kebenaran awal untuk penggunaan dewan tersebut. Saya juga telah berkomunikasi terus dengan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Temerloh untuk meminta penjelasan mengenai perkara ini namun maklum balas yang diterima bahawa pembatalan ini adalah arahan daripada Kerajaan Negeri Pahang secara terus kepada pihak YDP secara lisan tanpa ada ada apa-apa pengarahan rasmi secara bertulis. Saya juga telah beberapa kali cuba berhubung dengan pihak YAB Menteri Besar Pahang, namun tidak dapat sebarang maklum balas.

Tindakan ini jelas adalah satu keputusan dan tindakan yang tidak profesional dan zalim. Saya mendesak Kerajaan PH-BN Pahang untuk memberikan penjelasan yang rasional mengapa tempahan kami dibatalkan dalam tempoh kurang 24 jam walaupun pihak kami telah mengikut prosedur tempahan dan membayar wang deposit tempahan seperti yang telah ditetapkan. Apakah kerana kami parti dan rakyat Temerloh yang tidak menyebelahi pihak Kerajaan PH-BN Pahang menyebabkan kami dinafikan hak untuk menggunakan dewan ini. Ini jelas satu tindakan yang menafikan mandat rakyat yang telah diberikan kepada Ahli Parlimen Temerloh dan Ahli Dewan Negeri (ADN) di kawasan ini. Ini juga adalah satu salah guna kuasa dan campur tangan politik dalam pentadbiran awam yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang ditunjangi oleh PH-BN di Negeri Pahang ini.

Saya juga mendesak pihak Kerajaan PH-BN Pahang untuk memberikan penjelasan mengapa majlis jamuan yang hanya bertujuan untuk berkongsi juadah dan santapan dengan semua warga Temerloh termasuklah agensi kerajaan dan penguatkuasa di daerah ini telah dibatalkan tempahan tempat. Sedangkan program konsert hiburan di musim monsun yang juga berlangsung di sekitar tapak yang sama pada sesi malam tetap boleh dijalankan tanpa ada apa-apa sekatan dalam keadaan beberapa kawasan di daerah telah dilanda musibah banjir di musim monsun ini. Adakah pertimbangan Kerajaan PH-BN Negeri Pahang ini bahawa program jamuan keraian dan kesyukuran lebih banyak mendatangkan kemudaratan dan kefasadan di musim monsun ini berbanding konsert hiburan? Kegilaan apa yang cuba ditunjukkan oleh Kerajaan PH-BN Negeri Pahang ini ?

Suka saya tegaskan dan peringatkan Kerajaan PH-BN Negeri Pahang untuk mentadbir negeri dengan matang dan profesional. Jangan kerana dendam politik menyebabkan hak dan kebajikan rakyat dinafikan. Contohilah Kerajaan Negeri Terengganu yang profesional dalam mengurus negeri dengan mengizin penggunaan premis awam kerajaan negeri untuk semua pihak walaupun berlainan fahaman politik.

Di kesempatan ini, suka untuk saya menjemput semua warga Temerloh khususnya tanpa mengenal warna fahaman politik termasuklah rakan-rakan daripada PH-BN untuk turut bersama dalam jamuan kesyukuran esok yang akan tetap dilangsung di lokasi baru iaitu di perkarangan Surau Al-Khairiah, Seberang Temerloh. Sekian.

SALAMIAH MOHD NOR
Ahli Parlimen Temerloh
13 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 13/12/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!