Tindakan terburu-buru Hajiji undang padah

Datuk Hajiji Noor
- Advertisement -

IMPIAN pemimpin utama Umno mendesak Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera bagi mencapai kestabilan politik, sekadar indah khabar dari rupa.

- Advertisement -

Ini kerana situasi politik di negara ini sekarang hanya mengulangi apa yang berlaku selepas PRU14. Tiada parti politik yang memperolehi majoriti mudah.

Impian Umno untuk menguasai kerajaan Pusat secara solo juga ranap, biarpun parti itu berjaya pada pilihan raya negeri di Melaka dan Johor sebelum ini.

Malah, dalam tempoh terdekat rakyat di Sabah kemungkinan besar akan menghadapi pilihan raya kecil (PRK) apabila empat ahli parlimen Bersatu mengumumkan keluar daripada parti Sabtu lepas.

Empat ahli parlimen terbabit dianggap cuba menguji Akta Lompat Parti yang mulai berkuatkuasa 5 Oktober lepas.

Akta itu yang dilulus di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 selepas mendapat sokongan 209 ahli parlimen.

Perkara 49(A)(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan ‘seseorang ahli parlimen akan hilang kerusi sekiranya dia keluar daripada partinya atau pun berhenti daripada menjadi ahli partinya’.

Bekas menteri yang bertanggungjawab merangka rang undang-undang tersebut Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika memberitahu media menyifatkan undang-undang antilompat parti mengambil kira faktor parti dan bukannya keahlian dalam gabungan.

Beliau yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, sewajar ahli parlimen terbabit mengosongkan kerusi masing-masing sekiranya peletakan jawatan mereka diterima (partinya).

Ahli parlimen berkenaan iaitu Dato’ Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Dato’ Jonathan Yasin (Ranau) dan Dato’ Matbali Musah (Sipitang).

Pada Sabtu lepas Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor dilapor mengumumkan empat parlimen Bersatu meninggalkan parti itu dan akan menubuh parti tempatan baharu.

Empat ahli parlimen terbabit juga tidak hadir pada perjumpaan kesemua ahli-ahli parlimen Bersatu bersama Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda Armada Nasional Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, sepatutnya 35 ahli parlimen Bersatu hadir pada pertemuan tersebut dengan mengambil kira empat ahli parlimen Bersatu yang berada bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun Wan Junaidi menegaskan PRK perlu diadakan di semua kawasan Parlimen terbabit.

“Tidak penting empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket GRS atau mewakili mana-mana gabungan lain kerana (Akta Lompat Parti) relevan jika mereka meninggalkan parti mereka.

“Saya merangka undang-undang itu untuk melarang perkara seperti ini berlaku demi mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya seperti dilapor media.

Menurutnya juga peletakan jawatan empat Ahli Parlimen terbabit perlu diterima secara rasmi Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, untuk mengesahkan mereka keluar parti.

Mengikut prosedur kata Dr Wan Junaidi, ahli Parlimen akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas mendapat pengesahan.

Speaker akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.

Kata beliau apabila speaker mengesahkan peletakan jawatan ahli Parlimen terbabit diterima partinya, mereka akan kehilangan kerusi.

Sebelum ini Hajiji turut memaklumkan GRS menyokong kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan tersebut tersebut bertentangan dengan pendirian Bersatu dan PERIKATAN NASIONAL yang bertindak sebagai pembangkang di peringkat pusat.

Ramai menyifatkan tindakan Hajiji bakal memberi kesan kepada ahli parlimen Bersatu yang keluar parti, biarpun Dewan Undangan Negeri Sabah belum meluluskan akta tersebut.

Ini memandangkan Akta Lompat Parti sudah berkuatkuasa di peringkat Persekutuan selepas diwartakan pada 6 September lepas.

“Ternyata tindakan Hajiji mengundang padah apabila cuba mencabar Akta Lompat Parti. Dia terpaksa membayar dengan harga mahal kerana tindakan terburu-buru,” kata seorang pemerhati politik di Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 12/12/2022

- Advertisement -